‘AirAsia World’ mula beroperasi di Roblox, tampilkan budaya ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

‘AirAsia World’ mula beroperasi di Roblox, tampilkan budaya ASEAN

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos – AirAsia terus memperkukuh jenamanya dalam ruang digital serantau dengan pelancaran rasmi ‘AirAsia World’, sebuah pengalaman metaverse interaktif di platform permainan popular, Roblox.

 

Langkah strategik itu menyaksikan AirAsia menjadi antara jenama penerbangan terawal di rantau ASEAN yang meneroka dunia maya, menerusi pendekatan baharu untuk menghubungkan jenama bersama generasi muda dalam bentuk hiburan dan pengembaraan digital.

 

AirAsia World menampilkan dua tunjang utama iaitu penerokaan ASEAN dan pengalaman permainan imersif yang menyuntik elemen budaya serantau dalam format interaktif, kreatif dan menyeronokkan.

 

AirAsia berkata, melalui modul penerokaan ASEAN, pemain boleh menjelajah pelbagai lokasi maya berasaskan budaya negara-negara Asia Tenggara, manakala pengalaman permainan imersif pula menawarkan cabaran mini, aktiviti bermusim dan ganjaran maya yang mendidik serta menghiburkan.

 

“Permainan ini dibangunkan oleh AirAsia Brand Co. (Abc) bersama Objekk dan Lumiworks Sdn Bhd, menerusi geran IP 360 Metaverse yang disalurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

 

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha MDEC untuk memperkukuh pelaburan nasional dalam kandungan digital dan teknologi kreatif ciptaan tempatan,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

 

test

 

t

 

Roblox merupakan platform permainan dalam talian global yang membolehkan pengguna bermain dan mencipta pelbagai pengalaman maya merangkumi pelbagai genre.

 

Dalam AirAsia World, pengguna boleh menerokai dua peta utama iaitu AirAsia Central yang merupakan hab permainan mini termasuk AirAsia Ride Grand Prix dan AirAsia Pilot Academy, yang membolehkan pemain bersaing dalam perlumbaan serta mengemudi pesawat maya untuk mengumpul mata.

 

Seterusnya ialah ASEAN Island yang membolehkan pemain melancong secara maya ke destinasi ikonik Asia Tenggara sambil menikmati hidangan Santan, yang diinspirasikan daripada menu sebenar dalam pesawat AirAsia.

 

Pelancaran ini adalah lanjutan kepada inisiatif pasukan Pembangunan IP AirAsia yang sebelum ini menerbitkan siri AirAsia Buds Adventures di YouTube serta menganjurkan pertandingan pembangunan permainan RedGames Jam yang kini memasuki tahun ketiga.

 

AirAsia Brand Co. merupakan entiti yang bertanggungjawab terhadap penciptaan, pelesenan dan pengurusan harta intelek jenama AirAsia di bawah kumpulan Capital A, merangkumi perkhidmatan penjenamaan, identiti visual serta kandungan berasaskan IP.

 

Orang ramai kini boleh mencari “AirAsia World” di Roblox dan menyertai pengembaraan maya berteraskan budaya ASEAN secara percuma. - DagangNews.com