KUALA LUMPUR 30 Mei – AirAsia disenaraikan sebagai jenama syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia dan ketujuh di Malaysia, menurut laporan Brand Finance Malaysia 100 tahun 2025.
Nilai jenama kumpulan melonjak 66% kepada AS$1.93 bilion (RM8.19 bilion) didorong lonjakan permintaan penumpang, peluasan laluan ke China dan Asia Tengah serta peningkatan kekerapan bagi laluan berpermintaan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pengiktirafan itu mencerminkan ketahanan dan kepentingan berterusan jenama AirAsia.
"Tersenarai sebagai jenama ketujuh paling bernilai di Malaysia dan ke-24 dalam kalangan syarikat penerbangan global membuktikan komitmen berterusan Allstars serta fokus kami menjadikan perjalanan mampu milik, mudah diakses, dan menyeronokkan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.
Brand Finance melaporkan 100 jenama teratas Malaysia mencatat pertumbuhan kolektif 16% tahun ini, manakala sektor penerbangan melonjak 85%.
Fernandes berkata, ekosistem AirAsia merangkumi logistik, teknologi kewangan, dan usaha digital kekal menjadi tunjang strategi jenama kumpulan.
"Kami kekal fokus kepada penyampaian nilai, inovasi, dan keterhubungan kepada semua pemegang taruh di seluruh rantau ini," katanya.
Syarikat mengekalkan penarafan kekuatan jenama AAA- dan terus berada dalam kelompok 10 jenama paling kukuh di Malaysia, didorong sokongan pelanggan yang tinggi dan kesetiaan jenama serantau.
AirAsia berjaya mengikuti perubahan corak perjalanan pasca pandemik dan kembali meraih kedudukan pasaran dengan cekap.- DagangNews.com








