KUALA LUMPUR 24 Sept – AirAsia menyasarkan untuk menguasai sehingga 45 peratus pasaran penerbangan keseluruhan Malaysia dan 70 peratus pasaran domestik dalam tempoh dua tahun akan datang.
Syarikat penerbangan tambang murah itu yakin dapat mencapai sasaran tersebut disokong oleh penambahan kapasiti pesawat baharu serta strategi pengembangan antarabangsa.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Aviation, Amanda Woo berkata, syarikat penerbangan itu ketika ini menguasai kira-kira 41 peratus pasaran keseluruhan Malaysia dan 60 peratus pasaran domestik.
“Dengan tambahan kapasiti serta penghantaran pesawat baharu, kami yakin dapat meningkatkan penguasaan pasaran keseluruhan kepada 45 peratus dan pasaran domestik kepada 70 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pelancaran semula penerbangan terus AirAsia antara Kuala Lumpur dan Cebu, Filipina baru-baru ini.
Tambahnya, syarikat penerbangan itu telah pulih sepenuhnya dari segi kapasiti di seluruh ASEAN dan India selepas pandemik COVID-19 dan kini memberi tumpuan kepada pertumbuhan di luar rantau berkenaan.
“Tahun ini kami telah melancarkan perkhidmatan ke Karachi (Pakistan) dan Tashkent (Uzbekistan).
“Destinasi dalam perancangan seterusnya ialah Istanbul. Kami juga sedang meninjau pasaran di rantau Teluk, yang bakal menjadi hab strategik untuk menghubungkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Eropah, termasuk London,” katanya.
Woo berkata, pengembangan itu sejajar dengan strategi multi-hub AirAsia dan visinya untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab mega kumpulan, sekali gus membolehkan sambungan tanpa halangan di seluruh ASEAN dan seterusnya.
“Malaysia adalah pasaran teras kami, dan kami mahu Kuala Lumpur menonjol sebagai hab pilihan utama.
“Dengan penerimaan lebih banyak pesawat, kami yakin dapat mengukuhkan lagi penguasaan pasaran, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya. - BERNAMA








