AirAsia sambung semula penerbangan ke Palembang, pulihkan status antarabangsa lapangan terbang Sultan Mahmud Badaruddin II | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia sambung semula penerbangan ke Palembang, pulihkan status antarabangsa lapangan terbang Sultan Mahmud Badaruddin II

Pelancaran semula penerbangan AirAsia ke Palembang rancakkan sektor pelancongan Malaysia-Indonesia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – AirAsia Malaysia (AK) menyambung semula perkhidmatan penerbangan ke Palembang, Indonesia dari Kuala Lumpur, sekali gus mengembalikan status antarabangsa kepada Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II.

 

Langkah itu dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan di Sumatera Selatan dan merangsang pertumbuhan rantaian ekonomi berkaitan seperti pengangkutan, perhotelan dan makanan. 

 

Indonesia menyasarkan ketibaan antara 14.6 hingga 16 juta pelancong asing pada tahun ini, dan sambungan serantau yang ditawarkan AirAsia akan menjadi pemacu utama dalam mencapai sasaran tersebut, khususnya ke bandar-bandar sekunder seperti Palembang.

 

Gabenor Sumatera Selatan, H. Herman Deru berkata, penyambungan semula laluan antarabangsa ke Palembang bakal memberi kesan positif terhadap pelancongan dan ekonomi tempatan.

 

“Pada 2024, kadar penghunian bilik hotel bertaraf di Sumatera Selatan telah mencapai 51.85 peratus menurut BPS-Statistik Indonesia. 

 

“Dengan pembukaan semula penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II, kami menjangka peningkatan lebih ketara dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

test

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, laluan ke Palembang adalah antara keutamaan syarikat selepas pandemic dengan mengambil kira permintaan tinggi semasa musim perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

 

“Kami gembira melihat Palembang kembali aktif untuk perkhidmatan antarabangsa. Dengan penerbangan harian baharu ini, hubungan antara Malaysia dan Indonesia diperkukuh, menjadikan jumlah keseluruhan 205 penerbangan mingguan yang dikendalikan AirAsia antara kedua-dua negara,” katanya.

 

Tambah beliau, sambungan ini bukan sahaja menghubungkan keluarga dan komuniti serantau, malah membuka ruang lebih luas bagi pertumbuhan pelaburan, pelancongan dan pertukaran ekonomi rentas sempadan.

 

AirAsia Malaysia kini mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke 15 destinasi di seluruh Indonesia termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang dan Semarang (bermula 5 September 2025). 

 

Syarikat itu juga menyediakan penerbangan dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan.- DagangNews.com