KUALA LUMPUR 22 Mei — AirAsia memulakan perkhidmatan sewa khas termasuk penyewaan pesawat bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga 1 Ogos 2027, di bawah kontrak bernilai RM99.5 juta.
Perkhidmatan itu merangkumi penyewaan harian dan sewaan eksklusif pesawat bagi laluan domestik seluruh negara, sekali gus menjadikan AirAsia sebagai penyedia pengangkutan udara yang efisien untuk sektor pertahanan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, kerjasama ini mencerminkan hubungan jangka panjang yang terjalin antara syarikat dan ATM.
"Dengan rangkaian domestik paling luas merangkumi 38 laluan serta lebih 1,100 penerbangan mingguan, kami berada dalam kedudukan terbaik untuk memenuhi keperluan mobiliti ATM.
"Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus berkhidmat kepada negara dan menyokong inisiatif kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
AirAsia menyokong pergerakan anggota ATM melalui penerbangan komersial sedia ada dari Isnin hingga Jumaat bagi tujuan tugasan rasmi dan kebajikan, selaras dengan jadual semasa bagi memastikan kelancaran operasi dan keselesaan anggota.
Selain itu, syarikat itu turut menyediakan perkhidmatan sewa khas melibatkan penyewaan penuh pesawat tanpa penumpang komersial, khusus untuk kegunaan ATM.
Kontrak itu turut merangkumi penyediaan perkhidmatan menyeluruh seperti hidangan dalam penerbangan, pengendalian bagasi serta sokongan logistik dari lapangan terbang ke kem tentera dan sebaliknya, bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan anggota ATM sepanjang perjalanan.- DagangNews.com








