AirAsia perluas pilihan pemakaian hijab kru kabin wanita ke semua laluan penerbangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia perluas pilihan pemakaian hijab kru kabin wanita ke semua laluan penerbangan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Dis – AirAsia mengumumkan polisi baharu seragam kru kabin yang memberikan pilihan kepada kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas di seluruh rangkaian penerbangan syarikat itu dengan sasaran pelaksanaan bermula Ramadan 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, sebelum ini, kru kabin AirAsia telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.

 

“Saya berasa bangga kerana pembaharuan terkini ini memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai yang membuktikan komuniti dan budaya yang kami hubungkan setiap hari. 

 

 

 

 

 

 

"Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Bo Lingam lagi, pembaharuan terkini ini selain memperluaskan fleksibiliti, juga akan memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional.

 

AirAsia

 

Pembaharuan ini juga selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua pihak termasuk kakitangan syarikat.

 

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, barisan Allstars AirAsia terdiri daripada kakitangan daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun disatukan oleh komitmen bersama untuk memberikan perkhidmatan serta penjagaan bertaraf dunia kepada para penumpang.

 

“Polisi terkini ini membuktikan semangat kepelbagaian dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars kami dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam aspek reka bentuk terperinci serta pelaksanaan sebelum ia diguna pakai sepenuhnya.

 

“Kami menyasarkan untuk memulakan inisiatif ini pada bulan Ramadan 2026,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, antara kekuatan terbesar AirAsia sejak penubuhannya adalah tenaga kerja yang pelbagai, yang menjadi tulang belakang kejayaan kumpulan penerbangan itu.

 

“Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting untuk kami menilai secara terbuka dan menyeluruh.

 

“Menghormati pandangan serta kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, malah ia turut membentuk kejayaan AirAsia selama ini.

 

“Inilah cara kami berkembang, dengan berevolusi berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami sendiri,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Menurut AirAsia, pakaian seragam kru kabin ikonik berwarna merah akan kekal dengan penambahan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional, selari dengan reka bentuk yang digunakan bagi kru yang bertugas di laluan Jeddah.

 

Langkah itu bertujuan memastikan keselesaan, keselamatan dan konsistensi jenama terus terpelihara di seluruh rangkaian penerbangan AirAsia, seiring peluasan pelaksanaan polisi baharu tersebut ke semua destinasi. - DagangNews.com