AirAsia perkenal seragam baharu kitar semula sempena KL Fashion Week | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia perkenal seragam baharu kitar semula sempena KL Fashion Week

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – AirAsia memperkenalkan pakaian seragam kru kabin terbaharunya yang diperbuat daripada bahan kitar semula, dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kelestarian dan kesejahteraan kakitangan, sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025.

 

Seragam yang dikemaskini itu menggunakan sehingga 40% bahan tekstil kitar semula dan direka untuk menawarkan tahap keselesaan, fleksibiliti dan pengudaraan lebih baik kepada kru kabin yang bekerja dalam tempoh penerbangan panjang.

 

Selain ringan dan mudah diselenggara, ia menampilkan rekaan yang membolehkan pergerakan lebih bebas dan menyokong prestasi kerja yang lebih efisien.

 

AirAsia X turut memperkenalkan versi seragam yang ditambah baik untuk laluan terpilih seperti Jeddah dan Madinah, sejajar dengan keperluan operasi penerbangan jarak jauh dan zon berbeza.

 

Menariknya, beg tangan seragam turut direka oleh seorang pereka tempatan Malaysia, menambahkan elemen kreativiti dan gaya yang mencerminkan identiti serantau.

 

Ketua Kumpulan Kru Kabin AirAsia, Suhaila Hassan berkata, seragam baharu ini bukan sekadar perubahan dari segi fabrik semata-mata, tetapi juga cerminan kepada prinsip dan keutamaan syarikat dalam menyokong kakitangannya.

 

“Kakitangan kami ialah jantung syarikat penerbangan ini. Justeru, seragam yang lebih selesa, berfungsi dan praktikal ini dihasilkan dengan tumpuan kepada kesejahteraan mereka.

 

“Pemilihan bahan kitar semula dan kerjasama dengan pihak yang mementingkan prinsip ESG menunjukkan kesungguhan kami dalam menjadi peneraju perubahan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, inisiatif itu juga melambangkan komitmen AirAsia dalam membina perniagaan yang bertanggungjawab serta memperkasakan komuniti melalui pendekatan lestari dan inklusif.

 

KLFW 2025 juga menandakan satu dekad kerjasama strategik antara AirAsia dan acara fesyen terkemuka itu, sebagai sokongan berterusan syarikat terhadap bakat serantau dan inovasi kreatif.

 

Acara turut diserikan dengan persembahan oleh kumpulan pop Malaysia, Dolla yang merupakan wajah rasmi kempen Asean AirAsia, diikuti peragaan koleksi seragam baharu oleh kru kabin dari pelbagai negara Asia Tenggara.

 

AirAsia turut mengambil bahagian dalam segmen Design to Sustain, menonjolkan sokongan terhadap pereka tempatan dan peranan syarikat bukan sahaja sebagai penghubung udara, tetapi juga sebagai platform yang menjulang kreativiti, budaya dan kolaborasi serantau.- DagangNews.com