AirAsia MOVE kekal 3 tahun berturut-turut dinobatkan Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia pada Anugerah Teknologi Pelancongan Dunia 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia MOVE kekal 3 tahun berturut-turut dinobatkan Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia pada Anugerah Teknologi Pelancongan Dunia 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 8 Dis – AirAsia MOVE sekali lagi dinamakan sebagai ‘Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia’ pada Anugerah Teknologi Pelancongan Dunia 2025, menandakan tiga tahun berturut-turut platform tersebut meraih pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa.

 

Prestasi cemerlang itu didorong oleh pertumbuhan kukuh tahun ke tahun sepanjang 2025, dengan jumlah pengguna aktif bulanan (MAU) kekal pada 15 juta, sekali gus mencerminkan penerimaan tinggi pengguna terhadap ekosistem tempahan digital MOVE.

 

Menurut AirAsia MOVE, tempahan hotel mencatat peningkatan hampir 40%, manakala tempahan pakej SNAP (Penerbangan + Hotel) melonjak 30% berbanding tahun sebelumnya.

 

Bangkok, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu kekal sebagai tiga destinasi utama pilihan pengguna SNAP.

 

Sementara itu, MOVE turut mengembangkan rangkaian rakan penerbangan langsungnya dengan penambahan SriLankan Airlines, Royal Brunei, Ethiopian Airlines dan Vietjet Air (menerusi GalaxyJoy), menjadikan lebih 70 syarikat penerbangan kini boleh ditempah secara terus di platform itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer berkata, anugerah yang diraih itu mencerminkan kejayaan transformasi MOVE daripada sekadar aplikasi penerbangan kepada ejen pelancongan dalam talian (OTA) berskala global.

 

“Syarikat telah berkembang daripada sebuah aplikasi penerbangan kepada sebuah OTA yang menawarkan rangkaian produk dan syarikat penerbangan yang jauh lebih luas. Fokus kami kekal untuk menjadi aplikasi pelancongan pilihan Asean yang menawarkan pengalaman perjalanan inklusif, menyeronokkan dan mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau turut memaklumkan MOVE juga mempertingkat kerjasama serantau bersama pihak berkuasa pelancongan Thailand, Indonesia, Singapura serta Dubai Tourism bagi merangsang aliran pelancong rentas negara.

 

Nadia berkata, pengiktirafan tersebut adalah hasil usaha kolektif seluruh pasukan MOVE atau ‘Allstars’, selari dengan pertambahan rakan strategik serta penambahbaikan berterusan terhadap pengalaman pengguna.

 

“Dengan pilihan syarikat penerbangan yang semakin luas dan kerjasama strategik yang lebih mendalam, syarikat mahu membantu pengguna merancang lebih banyak perjalanan, mengembara dengan lebih kerap dan pada kos yang lebih rendah,” katanya.

 

Dari sudut inovasi teknologi, MOVE kini dipacu oleh chatbot AskBo berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain pengenalan produk baharu seperti MOVETIX, iaitu platform tiket acara langsung global serta ciri ‘batal atas sebarang sebab’.

 

Menurut MOVE, fasa seterusnya pembangunan platform akan memberi fokus kepada penemuan sosial, membolehkan pengguna mendapatkan inspirasi perjalanan melalui kandungan digital sebelum membuat tempahan secara terus dalam satu aplikasi.

 

Dengan akses kepada lebih 700 syarikat penerbangan dan lebih satu juta hotel di seluruh dunia, MOVE menyasarkan untuk terus merekodkan pertumbuhan berterusan sejajar dengan pemulihan penuh industri pelancongan serantau. - DagangNews.com