AirAsia berbincang dengan rakan kongsi tempatan masuk ke pasaran Vietnam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia berbincang dengan rakan kongsi tempatan masuk ke pasaran Vietnam

Ho Chi Minh, Vietnam

KUALA LUMPUR 24 Sept – AirAsia, syarikat penerbangan kos rendah  Capital A Bhd sedang mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi tempatan di Vietnam untuk mengembangkan jejak operasinya di ASEAN.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, setakat ini perbincangan itu berjalan dengan positif namun masih tiada sebarang perjanjian rasmi dimuktamadkan.

 

“Bukanlah satu rahsia yang saya sudah lama ingin AirAsia beroperasi di Vietnam. 

 

“Sebagai syarikat penerbangan ASEAN, adalah logik untuk kami berada di salah satu negara yang strategik dan berpotensi di rantau ini. 

 

“Kami sedang berbincang dengan sebuah kumpulan Vietnam, tetapi setakat ini tiada apa yang dimuktamadkan,” katanya kepada BERNAMA.

 

t

 

AirAsia juga sedang mengadakan perbincangan awal di Laos dan Brunei, seterusnya Myanmar dan Singapura memandangkan ia masih belum mempunyai operasi rasmi di dua negara itu. 

 

Fernandes berkata, beliau sentiasa berusaha untuk membuka operasi di Singapura namun, rancangan itu terpaksa ditangguhkan.

 

Beliau turut berkongsi impiannya untuk melihat AirAsia berkembang ke seluruh ASEAN sebelum bersara.

 

“Impian saya sebelum meninggalkan jawatan ini adalah untuk berada di sebanyak mungkin negara ASEAN dan saya sangat berhasrat untuk memasuki pasaran Vietnam,” katanya.

 

Sehingga kini, AirAsia telah memperoleh sijil operator penerbangan untuk lima negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

 

Sekiranya operasi di Vietnam berjaya, AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan tambang murah ketiga di pasaran itu, selepas Vietjet dan Pacific Airlines (anak syarikat Vietnam Airlines). - BERNAMA