KUALA LUMPUR 19 Mei - Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak mampu menggantikan tugas manusia sepenuhnya kerana kekurangan pemikiran kritikal dan pertimbangan yang mendalam, menurut pakar industri.
Pengurus Kanan Latihan Teknikal BlackBerry Cybersecurity Centre of Excellence, Jaclyn Sim berkata, AI masih tidak mempunyai kreativiti dan kemampuan menganalisis seperti manusia, tetapi amat berguna dalam tugas-tugas yang berulang.
"Jika AI dianggap seperti manusia, ia mampu bekerja 24 jam sehari. Jadi, ia hanya sesuai untuk kerja yang sama setiap hari.
"Kita sebagai manusia masih perlu melakukan tugas kreatif dan analisis," katanya dalam satu forum bertajuk Masa Depan Ketersambungan: Memajukan Inklusiviti Digital Melalui Teknologi Transformasi di Cyberjaya, baru-baru ini seperti laporan Bernama.
Forum itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2025.
Sim berkata, penggunaan AI yang semakin meluas turut membawa risiko baharu, mendorong permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pakar keselamatan siber.
"AI boleh diakses oleh semua orang sama ada maklumat baik atau buruk. Oleh sebab itu, keselamatan siber sangat penting sekarang untuk mengelak maklumat disalah guna," ujarnya.
Timbalan Ketua Pengarah MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin pula berkata, AI sepatutnya dilihat sebagai alat bantuan, bukan untuk menggantikan manusia.
"AI hanyalah produk. Ia boleh membantu mengumpul dan menyusun maklumat. Tetapi AI tidak boleh mencipta benda baharu, hanya manusia mampu berbuat demikian.
"Sebab itu kita perlukan lebih ramai pakar keselamatan siber kerana ancaman juga semakin canggih," jelasnya.
Zurkarnain menambah, walaupun AI boleh membantu dalam ramalan dan analisis data, manusia tetap diperlukan untuk memberi arahan dan panduan yang betul kepada sistem AI.
"AI perlukan arahan. Kreativiti dan cara berfikir secara kritikal masih datang daripada manusia. Kita perlu kemahiran baharu dan pemikiran yang lebih tinggi," katanya.
Beliau juga menyentuh insiden baru-baru ini melibatkan reka bentuk Jalur Gemilang yang dibuat oleh AI dan menekankan pentingnya semakan oleh manusia untuk memastikan hasil AI tepat dan sesuai.
"Ini bukan saja soal keselamatan siber, tetapi juga untuk memastikan maklumat yang AI hasilkan adalah betul. Manusia masih perlu menyemak hasil AI," tambahnya. - DagangNews.com








