Ahmad Syahril, Muhamad Fakhrul tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kumpulan NexG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Syahril, Muhamad Fakhrul tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kumpulan NexG

Datuk Ahmad Syahril Abdullah tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kumpulan NexG.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - NexG Berhad memaklumkan Datuk Ahmad Syahril Abdullah dan Muhamad Fakhrul Khir Abdul Samat tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kumpulan itu termasuk anak syarikatnya Datasonic Corporation Sdn Bhd serta NexG CSA Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, Ahmad Syahril melepaskan jawatannya sebagai pengarah Datasonic Corporation pada 16 Julai 2025 manakala Muhammad Fakhrul Khir meletakkan jawatan sebagai pengarah NexG CSA berkuat kuasa 15 Ogos lalu.

 

"Kedua-dua individu ini tidak lagi memegang sebarang jawatan, kuasa atau wakil dalam NexG, Datasonic, atau mana-mana anak syarikat kumpulan.

 

"Sebarang urus niaga, komitmen atau urusan dengan kumpulan hanya boleh dijalankan melalui pengarah dan pegawai yang diberi kuasa pada masa ini," kata NexG dalam satu kenyataan.

 

 

NexG

 

 

Ahmad Syahril dilantik sebagai Pengarah Datasonic Corporation pada 18 Oktober 2024 manakala Muhamad Fakhrul Khir dilantik sebagai Pengarah NexG CSA pada 28 April tahun sama.

 

Kumpulan itu juga menggesa pihak berkepentingan, rakan niaga dan orang awam supaya membuat pengesahan terhadap sebarang wakil yang bertindak atas namanya bagi mengelakkan salah wakil, sambil menegaskan, sebarang tindakan oleh dua bekas pengarah tersebut dianggap tidak sah.

 

NexG kekal komited terhadap standard tinggi tadbir urus korporat, ketelusan dan akauntabiliti, serta menegaskan, lembaga pengarah dan pihak pengurusannya terus memberi tumpuan kepada keutamaan strategik serta penyampaian nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan. - DagangNews.com