KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pelantikan Ahmad Shahril Mohd Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Bank Rakyat yang berkuat kuasa 9 April 2025.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, pelantikan itu dibuat selepas beliau memangku jawatan CEO sejak 9 November 2024, dengan prestasi yang disifatkan oleh menteri sebagai berintegriti, komited, dan berpandangan strategik.
Dengan lebih 26 tahun pengalaman dalam industri perbankan dan kewangan termasuk pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia dan beberapa institusi perbankan tempatan.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom dan merupakan ahli bertauliah Chartered Institute of Islamic Finance.
Dengan pengalaman luas yang dimiliki, Ewon berkata pihak kementerian yakin beliau mampu menerajui Bank Rakyat dengan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
"Ini termasuk usaha meningkatkan kesejahteraan anggota dan pemegang taruh, memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi, serta menyokong inisiatif keterangkuman kewangan selaras aspirasi Malaysia Madani," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak pula berkata, lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan, dan seluruh warga kerja bank mengalu-alukan pelantikan Ahmad Shahril.
"Di bawah kepimpinan beliau, kami yakin Bank Rakyat akan terus mengangkat mandatnya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan sosioekonomi negara dengan tumpuan kepada pembangunan mampan, inovasi, dan akses kewangan menyeluruh," katanya.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan pelaksanaan Pelan Strategik Lima Tahun Bank Rakyat 2025 (BR25), yang memberi tumpuan kepada pemodenan operasi bank selaras dengan nilai-nilai Islam dan prinsip kelestarian.- DagangNews.com








