KUALA LUMPUR 6 Jan – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Johan Mohammad Raslan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit (AOB) berkuat kuasa 5 Januari 2026.
Dalam kenyataan hari ini, SC berkata, Johan, yang telah berkhidmat sebagai ahli lembaga bukan eksekutif AOB sejak Disember 2020, dilantik semula ke jawatan tersebut susulan tamatnya tempoh perkhidmatan penyandang sebelum ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Abu Samah Nordin, yang telah menamatkan tempoh dua tahun sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif AOB pada 4 Januari 2026.
SC merakamkan penghargaan ikhlas kepada Abu Samah atas kepimpinan cemerlang beliau dalam menerajui AOB sepanjang tempoh perkhidmatannya, menurut kenyataan itu.
Menurut SC, dengan pengalaman kepimpinan yang luas merangkumi sektor korporat dan awam, Johan membawa kepakaran mendalam dalam bidang audit, tadbir urus dan pengawasan kewangan.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dari 2004 hingga 2012, selain memegang pelbagai peranan penting termasuk Pengerusi Yayasan Pelaporan Kewangan, ahli Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia, serta ahli Panel Penasihat Antarabangsa di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, kata SC.
Sebagai tokoh berpengaruh dalam tadbir urus korporat, beliau turut memainkan peranan penting dalam pelancaran Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang pertama pada tahun 2000, selain menyumbang kepada beberapa semakan seterusnya.
Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Sime Darby Property Berhad dan YTL Digital Bank Berhad, selain merupakan ahli lembaga Institut Pengarah Korporat Malaysia.
Di bawah kepimpinan Johan, SC berkata pihaknya yakin AOB akan terus memperkukuh pengawasan audit serta mengekalkan keyakinan terhadap integriti pasaran modal Malaysia. - DagangNews.com








