Agrobulk tawar ambil alih baki 69% saham NuEnergy bernilai RM78.37 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agrobulk tawar ambil alih baki 69% saham NuEnergy bernilai RM78.37 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Syarikat tenaga solar, NuEnergy Holdings Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai ILB Group Bhd, menerima tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat daripada pemegang saham terbesarnya, Agrobulk Holdings Sdn Bhd, bagi baki saham syarikat itu pada harga 60 sen sesaham.

 

Menurut notis tawaran yang difailkan oleh Kenanga Investment Bank Bhd bagi pihak Agrobulk, tawaran itu melibatkan baki 130.59 juta saham atau 69.13% pegangan dalam NuEnergy.

 

Agrobulk kini memiliki 30.87% pegangan atau 58.31 juta saham dalam syarikat tersebut.

 

Berdasarkan pengiraan, tawaran bernilai kira-kira RM78.35 juta, dengan harga 60 sen sesaham itu mencatatkan premium 20% berbanding purata lima hari dagangan NuEnergy sebanyak 50 sen, serta 29.03% lebih tinggi daripada purata enam bulan pada 46.5 sen.

 

Agrobulk juga menegaskan pihaknya berhasrat mengekalkan penyenaraian NuEnergy di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Ketika ini, Agrobulk dimiliki 61.42% oleh Tang & Co Sdn Bhd, yang majoritinya dikuasai Lee May Lin.

 

Pemegang saham utama lain ialah KTC Brothers Holdings Sdn Bhd (11.05%), Loo Joo Aun (7.31%) dan Tan Chai Swan (6.04%).

 

Agrobulk muncul sebagai pemegang saham besar NuEnergy pada November 2023 selepas membeli 8.999% kepentingan daripada Etern Group (HK) Co Ltd.

 

Pada Februari 2024, Ketua Pegawai Eksekutif Agromate Holdings Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Agrobulk, Edward Tang Ming Yng, dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif NuEnergy, manakala abangnya Tan Weihann kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

 

Pemegang saham kedua terbesar NuEnergy ialah BT Investment Capital Ltd, yang berdaftar di British Virgin Islands. - DagangNews.com