Agmo cadang pindah penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agmo cadang pindah penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama pada 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Agmo Holdings Bhd, pembangun aplikasi mudah alih dan web tempatan yang disenaraikan di Pasaran ACE sejak Ogos 2022, bercadang untuk memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas memenuhi semua syarat kelayakan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Agmo berkata, syarikat telah mencapai prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan bersih terkumpul selepas cukai (PAT) sebanyak RM23.07 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

 

Bagi FY25 sahaja, Agmo merekodkan PAT sebanyak RM8.19 juta.

 

Menurut syarat penyenaraian, syarikat yang berpindah ke Pasaran Utama perlu mencatat keuntungan terkumpul minimum RM20 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan lalu, selain keuntungan sekurang-kurangnya RM6 juta bagi tahun terkini.

 

Agmo berkata, syarikat itu turut memenuhi keperluan kedudukan kewangan yang sihat tanpa kerugian terkumpul, selain mengekalkan aliran tunai positif sejak tiga tahun lalu.

 

“Setakat 31 Mac 2025, syarikat memiliki modal kerja mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan, dengan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah RM5.36 juta.

 

“Dari segi pegangan saham, 60.71% saham Agmo kini dipegang oleh pemegang saham awam, sejajar dengan syarat minimum Bursa,” katanya.

 

Cadangan pemindahan itu tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia Securities dan para pemegang saham dan dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama 2026.

 

Kenanga Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama bagi urus niaga ini. - DagangNews.com