Agape meterai 2 perjanjian jual beli bekalan bahan api jet dengan Swiss One bernilai RM106 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agape meterai 2 perjanjian jual beli bekalan bahan api jet dengan Swiss One bernilai RM106 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 April - Agape ATP Corporation (ATPC) melalui anak syarikatnya, ATPC Green Energy Sdn Bhd, memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) bernilai agregat kira-kira AS$24 bilion (RM106.07 bilion) dengan Swiss One Oil & Gas AG. 


Syarikat tersebut berkata, perjanjian itu berdasarkan Perintah Pembelian Permulaan Korporat (ICPO) ditandatangani pada 24 Februari 2025, yang meletakkan asas bagi perolehan serta pembekalan bahan api ditapis, termasuk Jet Fuel A1 dan EN590 10PPM diesel.


ICPO itu meliputi penghantaran percubaan sebanyak 100,000 tan metrik diesel EN590 10PPM dan satu juta tong bahan api jet A1. Kejayaan menyelesaikan fasa tersebut membawa kepada perjanjian berstruktur jangka panjang antara dua pihak.


"Di bawah terma SPA tersebut, ATPC Green Energy akan membekalkan kepada Swiss One dalam tempoh 12 bulan, dengan penghantaran percubaan dijadualkan bermula pada Mac 2025," kata ATPC dalam satu kenyataan.


Selepas percubaan selesai, kontrak itu akan beralih kepada bekalan skala penuh, dengan penghantaran mingguan sebanyak 500,000 tan metrik diesel EN590 10PPM dan dua juta tong bahan api jet A1 bagi memenuhi permintaan global yang meningkat.


Semua penghantaran tersebut katanya, akan melalui prosedur 'Free on Board' (FOB) di mana-mana pelabuhan antarabangsa utama, untuk memastikan proses logistik yang lancar dan pematuhan kepada segala protokol perdagangan antarabangsa. 


Perjanjian itu juga jelas ATPC, mengekalkan pematuhan piawaian kualiti global, dengan pihak berkuasa pemeriksaan yang setara bagi menjalankan penilaian kualiti bebas untuk memastikan bahan api memenuhi standard antarabangsa.


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global ATPC, Prof Datuk Seri Dr How Kok Choong berkata, ICPO awal itu merupakan langkah penting untuk ia membina kepercayaan dan kecekapan operasi dalam sektor minyak dan gas (O&G).


"Peralihan kepada SPA berskala penuh mencerminkan keyakinan yang dibina antara organisasi dan kedudukan kami sebagai pembekal boleh dipercayai serta mampu memenuhi permintaan konsisten dengan volum tinggi," katanya dalam kenyataan tersebut.
 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Swiss One, Jeff Hattara merakamkan terima kasih kepada Presiden dan Pengarah Swiss One Oil & Gas Operasi Asia Pasifik, Steven Huffman atas usaha dan bantuan dalam operasi bersama logistik.
 

Kenyataan itu berkata, melalui perkongsian strategik tersebut, ATPC mengukuhkan komitmennya untuk meningkatkan portfolio dagangan tenaga, meluaskan jangkauan pasarannya dan menjamin pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan.


Langkah ini juga dijangka dapat menyumbang secara ketara kepada aliran hasil ATPC sambil menyelaraskan dengan visi jangka panjangnya untuk mewujudkan model perniagaan yang pelbagai dan sedia pada masa hadapan. - DagangNews.com