KUALA LUMPUR 9 Sept – Affin Group melantik Hanif Ghulam Mohammed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Affin Hwang Investment Bank Berhad berkuat kuasa 9 September 2025.
Hanif mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri perbankan dengan kepakaran mendalam dalam bidang Perbendaharaan.
Affin dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelum pelantikan itu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbendaharaan di Affin Bank Berhad sejak Disember 2021.
“Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang pelbagai jawatan kanan termasuk Ketua Wilayah Perbendaharaan Islam dan Pengarah Pendapatan Tetap, sekali gus mencerminkan kepakaran beliau dalam pasaran modal hutang serta kewangan Islam.
“Di luar peranan korporat, Hanif juga memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kewangan negara.
“Beliau kini menganggotai Jawatankuasa Pasaran Kewangan Bank Negara Malaysia serta mempengerusikan Subjawatankuasa Pasaran Kewangan Islam, yang menyerlahkan kepimpinan pemikiran beliau dan komitmen terhadap pembangunan pasaran kewangan Islam Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Pelantikan ini adalah langkah strategik yang sejajar dengan aspirasi Affin Hwang Investment Bank untuk memacu inovasi, mengukuhkan kedudukan pasaran dan menjana nilai jangka panjang kepada pelanggan, pemegang saham serta pihak berkepentingan, selaras dengan Pelan Strategik Kumpulan AX28.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan Affin Hwang Investment Bank dalam memperkukuh pertumbuhan strategik dan mengekalkan kecemerlangan dalam landskap perbankan pelaburan yang sentiasa berubah.
“Rekod pencapaian Hanif, pengetahuan mendalam dalam pasaran modal hutang, kepakaran perbendaharaan, serta kepimpinannya dalam membangunkan pasaran kewangan Islam negara meletakkan beliau pada kedudukan terbaik untuk menerajui cabang perbankan pelaburan kami.
“Dengan pelantikan ini, kami yakin Affin Hwang Investment Bank akan terus mengukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi dan menjana nilai jangka panjang kepada pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan, selaras dengan pelaksanaan Pelan Strategik AX28,” katanya.
Hanif memiliki Sijil Profesional dalam Kewangan Islam daripada INCEIF dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi & Pengurusan dari University of London, London School of Economics.
Latar belakang akademik bersama pengalaman luas industri meletakkan beliau di posisi kukuh untuk memimpin Affin Hwang Investment Bank ke fasa pertumbuhan seterusnya.
Langkah ini juga mengukuhkan komitmen Kumpulan dalam memperluas aliran pendapatan bukan berasaskan faedah dan meneroka peluang baharu di peringkat domestik serta serantau.
Lembaga Pengarah dan Pengurusan AFFIN Group menzahirkan rasa gembira dengan pelantikan Hanif serta menantikan kerjasama rapat bersama beliau dalam menerajui Affin Hwang Investment Bank. - DagangNews.com








