KUALA LUMPUR 3 Sept – Sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini kembali beroperasi 24 jam selepas selesai menjalani kerja penyelenggaraan berjadual dari 18 hingga 31 Ogos lalu.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, program penyelenggaraan selama dua minggu itu dilaksanakan pada waktu luar puncak antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tanpa menjejaskan pergerakan penumpang.
“Sepanjang tempoh penyelenggaraan, perjalanan penumpang adalah lancar melalui penggunaan bas ulang-alik yang menghubungkan antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit.
“Kerja-kerja itu merangkumi penambahbaikan responsif dan kebolehpercayaan sistem berdasarkan data operasi sejak Aerotrain mula beroperasi pada 1 Julai 2025, selain ujian perisian isyarat oleh kontraktor, Alstom yang berjaya disempurnakan,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, Aerotrain merupakan penghubung penting dalam operasi KLIA dan syarikat itu komited untuk memastikan perkhidmatan kekal selamat, cekap dan selesa.
“Penyempurnaan kerja berjadual ini mencerminkan tumpuan kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan serta memastikan pengalaman perjalanan yang lancar di lapangan terbang.
“Kami akan terus melabur dalam infrastruktur demi kebolehpercayaan, keselamatan dan keselesaan semua pengembara,” katanya.
Malaysia Airports adalah antara pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang yang dikendalikan.
Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia serta sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye. - DagangNews.com








