KUALA LUMPUR 9 April - Aeon Credit Service (M) Bhd melaporkan peningkatan keuntungan bersihnya sebanyak RM130.97 juta atau lebih 10% tahun ke tahun (yoy) pada suku keempat yang berakhir pada 28 Februari 2025 (4QFY25), berikutan strategi menyediakan lebih banyak pinjaman kepada golongan berpendapatan sederhana (M40).
Syarikat itu berkata, keuntungan bersih berkenaan didorong oleh pembiayaan peribadi dan pembiayaan kenderaan, manakala pendapatan meningkat sebanyak 14.6% yoy kepada RM575.04 juta.
"Jumlah transaksi dan pembiayaan kumpulan mencatatkan lonjakan 16.7%, mencapai RM2.16 bilion pada 4QFY25.
"Seiring itu, penerimaan pembiayaan kasar meningkat sebanyak 15.4%, mencecah RM14.12 bilion," kata Aeon Credit dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat, kedudukan kewangannya juga mendapat manfaat daripada tawaran produk yang dipertingkat dalam pembiayaan kenderaan serta kempen kerjasama dengan Kumpulan Aeon.
Namun jelasnya, keuntungan suku keempat berkurang kerana jumlah pembiayaan tidak berbayar oleh pelanggan meningkat sebanyak RM71.30 juta.
Aeon Credit menjelaskan, kos operasi lain juga bertambah sejajar dengan peningkatan jualan dan kos yang berkaitan pendapatan.
Lembaga pengarah telah mencadangkan pembayaran dividen akhir tunggal sebanyak 14.50 sen sesaham, yang dijadualkan pada 24 Julai 2025.
Jumlah dividen yang akan dibayar untuk tahun kewangan 2025 (FY25) adalah RM146.80 juta, dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 39.6%.
Walaupun keuntungan bersih suku keempat mencatatkan peningkatan, keuntungan bersih bagi tahun penuh AEON Credit menurun sebanyak 12.6% yoy kepada RM370.61 juta.
Penurunan tersebut berlaku walaupun pendapatan FY25 meningkat sebanyak 15.1% kepada RM2.2 bilion, didorong oleh peningkatan 15.3% dalam jumlah transaksi dan pembiayaan yang mencecah RM8.41 bilion.
Penurunan keuntungan bersih FY25 adalah akibat daripada perkongsian kerugian sebanyak RM68.33 juta dari AEON Bank, syarikat sekutu.
Kadar pinjaman tidak berbayar kumpulan mencatatkan kenaikan sedikit kepada 2.64% dalam FY25, berbanding 2.57% dalam FY24.
"Aeon Credit tetap komited untuk menguruskan risiko kredit dengan berhati-hati dan memberi tumpuan untuk mengekalkan kualiti aset.
"Ini termasuk memperkukuh dasar penilaian kredit melalui pengenalan dasar pengganda had kredit baharu, melaksanakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran penilaian kredit, serta memantau dan menguruskan portfolio yang kurang berprestasi secara proaktif," ujarnya. - DagangNews.com








