KUALA LUMPUR 15 Ogos – Aemulus Holdings Bhd memeterai perjanjian untuk mengambil alih perniagaan ujian sensor kamera milik kumpulan Revotronix dari China yang berharga 32.46 juta yuan (RM19.09 juta).
Menurut Aemulus, pengambilalihan itu akan dilaksanakan menerusi dua anak syarikat milik penuhnya, Tangming Shengshi Technology Precision Instrument (Suzhou) Co Ltd (TMSS) dan Aemulus Corporation Sdn Bhd.
“Pengambilalihan itu termasuk pemindahan harta intelek, peta hala tuju teknologi, hubungan pelanggan dan pembekal, kontrak jualan, kakitangan terpilih, inventori serta aset tetap,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Revotronix, yang membangunkan dan menjual peralatan semikonduktor serta elektronik untuk sensor imej CMOS (CIS) di China, telah bekerjasama dengan TMSS sejak 2021.
Aemulus berkata, pengambilalihan ini akan membolehkan TMSS mendapat akses langsung kepada salah satu pengeluar CIS terbesar dunia, sekali gus meningkatkan harga jualan purata dan jumlah tempahan.
Teknologi yang diambil alih, bernilai 11 juta yuan, melengkapi penyelesaian ujian CIS WSH5600 sedia ada milik TMSS, sistem yang pernah dibeli Revotronix daripada TMSS pada 2021.
Aemulus menjelaskan, teknologi itu akan mengurangkan pergantungan kepada komponen pihak ketiga serta memastikan akses langsung kepada projek jangka panjang dan pelan produk pelanggan utama.
Sementara itu, inventori dan aset tetap bernilai 21.46 juta yuan merangkumi komponen penguji CIS sedia pasang, kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta bahan berkaitan.
Dalam pada itu, Aemulus berkata, syarikat itu mencatat keuntungan bersih RM24,000 bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2025 (3QFY25), berbanding kerugian bersih RM2.99 juta pada suku sama tahun sebelumnya, sekali gus merekodkan prestasi positif untuk tiga suku berturut-turut.
Pemulihan prestasi itu disokong oleh lonjakan 84% hasil berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM19.06 juta, dipacu oleh permintaan kukuh daripada pasaran CIS serta pelaksanaan langkah penjimatan kos.
Namun, tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.
“Dengan pemindahan perniagaan CIS daripada Revotronix seperti diumumkan pada tarikh yang sama, sumbangan hasil daripada segmen pasaran CIS dijangka meningkatkan prestasi kewangan kami.
“Aemulus menjangkakan sumbangan besar hasil daripada wilayah jualan Rest of the World (ROW) untuk segmen pasaran automotif pada 4QFY25. Tempahan telah diperoleh dan pembuatan penguji sedang berjalan,” kata syarikat itu. - DagangNews.com








