KUALA LUMPUR 31 Dis – AE Multi Holdings Bhd memuktamadkan cadangan pengurangan modal sahamnya selepas semua keperluan berkaitan dipatuhi.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia menerima notis bertarikh 30 Disember 2025 daripada pendaftar syarikat yang memaklumkan semua keperluan berkaitan pengurangan modal saham AE Multi telah dipatuhi sepenuhnya, selaras dengan resolusi khas yang diluluskan pada 6 Mac 2025.
Menurut pemakluman itu, notis berkenaan dikeluarkan susulan pematuhan kepada Seksyen 119 Akta Syarikat, yang memperuntukkan pengesahan pendaftar syarikat menjadi bukti muktamad semua keperluan undang-undang berhubung pengurangan modal telah dipenuhi.
“Sehubungan itu, pengurangan modal saham berkenaan berkuat kuasa pada 30 Disember 2025,” katanya.
Susulan penyempurnaan pengurangan modal saham tersebut, modal saham terbitan AE Multi kini berjumlah RM11,252,676 yang merangkumi 216,350,326 saham biasa.
Cadangan pengurangan modal saham itu sebelum ini diumumkan oleh syarikat pada 11 Disember 2024, 10 Februari 2025, 12 Februari 2025 dan 6 Mac 2025, sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan untuk menyusun semula struktur modal kumpulan. - DagangNews.com







