Advancecon lantik Phum Boon Eng sebagai pengarah urusan berkuat kuasa 22 Disember 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Advancecon lantik Phum Boon Eng sebagai pengarah urusan berkuat kuasa 22 Disember 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 24 Dis – Advancecon Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, melantik Phum Boon Eng sebagai pengarah urusan berkuat kuasa 22 Disember 2025. 

 

Menurut kenyataan kumpulan itu, pelantikan tersebut mencerminkan komitmen lembaga pengarah untuk memperkukuh kesinambungan kepimpinan, memodenkan organisasi serta menyokong pertumbuhan mampan selari dengan hala tuju strategik kumpulan.

 

Tambah kenyataan itu, Boon Eng memberi tumpuan pemodenan organisasi dan transformasi budaya, memperkukuh kecemerlangan operasi serta pengalaman pelanggan, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan memacu inisiatif pertumbuhan.

 

Boon Eng sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Solar Advancecon, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan tenaga boleh diperbaharui kumpulan dan menyokong kepelbagaian Advancecon ke dalam infrastruktur lestari.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Advancecon Holdings Berhad, Datuk Phum Ang Kia berkata, pelantikan itu merupakan langkah penting dalam perancangan kepimpinan jangka panjang kumpulan.

 

“Pelantikan ini mewakili langkah penting dalam kepimpinan jangka panjang dan perancangan penggantian Advancecon. Apabila kumpulan semakin matang, adalah penting untuk syarikat terus menyegarkan barisan kepimpinan dengan individu yang memahami perniagaan dan jangkaan pihak berkepentingan yang sentiasa berubah.

 

“Boon Eng membawa perspektif baharu, kemahiran insan yang mantap serta penghargaan mendalam terhadap budaya organisasi, yang akan menjadi semakin penting ketika syarikat bergerak ke fasa seterusnya pembangunan kumpulan,” katanya.

 

Advancecon turut memaklumkan Boon Eng ialah anak perempuan kepada Ang Kia dan lembaga pengarah telah menjalankan penilaian sewajarnya serta berpuas hati pelantikan tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.

 

Menurut kenyataan itu, lembaga pengarah percaya latar belakang profesional dan pendekatan kepimpinan Boon Eng akan melengkapi pasukan pengurusan sedia ada dan mengukuhkan kedalaman organisasi Advancecon.

 

Mengulas pelantikannya, Boon Eng berkata, beliau berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh lembaga pengarah.

 

“Advancecon telah dibina melalui disiplin, pelaksanaan yang konsisten dan hubungan jangka panjang. Ketika kita melangkah ke fasa seterusnya, tumpuan saya adalah untuk memperkukuh organisasi dari dalam, menggalakkan inovasi yang bertimbang rasa, memodenkan proses serta memastikan pasukan syarikat kekal tangkas dan sejajar apabila kumpulan terus berkembang,” katanya.

 

Advancecon menegaskan pelantikan itu selari dengan strategi memperkukuh kepimpinan generasi akan datang, pemodenan organisasi serta pengukuhan budaya dalaman dan kerjasama rentas fungsi, seiring dengan perkembangan sektor infrastruktur dan pembangunan bandar di Malaysia. - DagangNews.com