KUALA LUMPUR 23 Sept - Penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Berhad menjalin kerjasama jangka panjang dengan syarikat pemula, SurplusLoop bagi meningkatkan pengurusan lebihan aset melalui teknologi yang didayakan kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi.
Kerjasama itu membolehkan Advancecon menguruskan jentera, peralatan dan lebihan bahan secara lebih tersusun, sekali gus menjana semula nilai daripada aset terbiar di samping meminimumkan pembaziran serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Sejak projek perintis pada awal 2025, SurplusLoop membantu Advancecon mengedarkan semula 42 aset dan menjual semula jentera, peralatan serta lebihan alat ganti bernilai RM2.5 juta.
Inisiatif itu juga berjaya mengelakkan lebih 840 tan sisa daripada berakhir di tapak pelupusan dan mengurangkan sejumlah 4,200 tan pelepasan karbon dioksida — bersamaan dengan jumlah karbon yang diserap oleh 210,000 pokok setiap tahun.
Dengan kerangka berasaskan AI SurplusLoop, Advancecon dapat memendekkan kitaran jualan, dengan urus niaga diselesaikan dalam masa satu hingga tujuh hari berbanding enam hingga 24 bulan.
Kerangka kerja itu merangkumi proses penyenaraian lebihan aset, penetapan harga, pencarian pembeli, pelaksanaan transaksi serta penjejakan impak kelestarian.
Hasilnya, jumlah jualan aset meningkat kepada 15 ke 20 sebulan dengan pemulihan nilai 20% hingga 30% lebih tinggi melalui akses harga pasaran terus tanpa caj broker.
Setiap transaksi turut dipantau bagi mengukur pengurangan jejak karbon dan pengalihan sisa, sekali gus memberikan impak kelestarian yang boleh disahkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, kerjasama itu menyokong fokus syarikat terhadap kecekapan operasi dan kelestarian.
“Dengan membuka nilai tersembunyi daripada aset terbiar dan mengurangkan impak alam sekitar, kami menyelaraskan amalan perniagaan dengan matlamat kelestarian global, sambil menyumbang kepada perubahan positif jangka panjang untuk masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SurplusLoop, Sereen Teoh berkata, pengadaptasian platform itu oleh Advancecon membuktikan bagaimana syarikat boleh memanfaatkan teknologi untuk memperkukuh pembangunan lestari.
“Bersama-sama, kami sedang menetapkan penanda aras baharu dalam pengurusan aset lebihan industri di Asia — membuktikan teknologi boleh menjadi pemacu utama dalam mempercepatkan peralihan rantau ini kepada ekonomi kitaran yang lebih mampan,” katanya.- DagangNews.com








