Aduan penerbangan naik 34% pada separuh kedua 2024 - Mavcom | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aduan penerbangan naik 34% pada separuh kedua 2024 - Mavcom

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melaporkan peningkatan sebanyak 34% dalam aduan berkaitan perjalanan udara bagi separuh kedua tahun 2024, terutamanya berpunca daripada gangguan penerbangan.  

 

Menurut Mavcom, syarikat penerbangan tempatan bagaimanapun berjaya menyelesaikan lebih 90% aduan dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan.

 

"Sebanyak 2,613 aduan direkodkan antara Julai hingga Disember 2024, meningkat daripada 1,948 aduan pada tempoh sama tahun sebelumnya.  

 

 

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 99% daripadanya melibatkan syarikat penerbangan, dengan kebanyakan aduan berkaitan pembatalan, kelewatan dan penjadualan semula penerbangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mavcom berkata, Malaysia Airlines muncul syarikat penerbangan paling banyak menerima aduan dengan 921 aduan, diikuti AirAsia (611 aduan) dan Batik Air (437 aduan).  

 

"Jika diukur berdasarkan aduan bagi setiap sejuta penumpang, Firefly mencatat nisbah tertinggi dengan 256 aduan, diikuti Malaysia Airlines (142) dan Batik Air (111)," jelasnya.

 

Walaupun aduan semakin banyak, semua syarikat penerbangan tempatan seperti AirAsia, AirAsia X, Batik Air, Firefly, Malaysia Airlines dan MASwings berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 90% aduan dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan oleh Mavcom.

 

Bagi prestasi ketepatan masa (OTP) penerbangan antarabangsa, AirAsia, AirAsia X, Batik Air dan Malaysia Airlines tidak mencapai sasaran 85% penerbangan perlu berlepas dalam 15 minit dari waktu yang ditetapkan setiap bulan.

 

Bagi penerbangan domestik, hanya Malaysia Airlines (Okt–Dis 2024) dan AirAsia X (Ogos–Nov 2024) yang mencapai sasaran OTP. 

 

Syarikat lain gagal mencapai penanda aras dalam tempoh tersebut.

 

Satu kaji selidik oleh Mavcom juga menunjukkan, sebanyak 67% pengguna kini lebih sedar tentang hak mereka sebagai penumpang.

 

"Tinjauan kami menunjukkan peningkatan kesedaran pengguna serta usaha lebih baik dari syarikat penerbangan dalam menyelesaikan aduan. 

 

"Namun, masih banyak ruang untuk penambahbaikan," katanya. - DagangNews.com