KUALA LUMPUR 11 April – ACO Tech terus mengorak langkah dalam pengembangan serantau menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) bersama dua nama besar dalam industri mobiliti dan telekomunikasi serantau, iaitu Bridge Alliance dan TMAP Mobility.
Kerjasama strategik yang dimeterai di Seoul itu bertujuan memperkukuh usaha ketiga-tiga entiti dalam merancakkan penggunaan rumusan mobiliti pintar merentas pasaran Asia Pasifik.
ACO Tech, yang berpangkalan di Malaysia menyasarkan perluasan capaian teknologinya menerusi platform dan kepakaran yang ditawarkan rakan strategik selaras dengan aspirasi menjadi peneraju serantau dalam bidang mobiliti pintar.
Bridge Alliance, berpangkalan di Singapura merupakan perikatan global terdiri daripada 35 pengendali telekomunikasi terkemuka manakala TMAP Mobility dari Korea Selatan terkenal sebagai peneraju dalam penyelesaian mobiliti digital berasaskan perisian.
Melalui kerjasama itu, ACO Tech berpeluang menyertai integrasi rangkaian mobiliti pintar melibatkan potensi capaian kepada lebih satu bilion pengguna global di bawah naungan Bridge Alliance.
Platform Internet Kebendaan (IoT) berskala global yang disediakan oleh Bridge Alliance membuka laluan kepada pemain seperti ACO Tech dan TMAP Mobility bagi mempercepatkan penembusan ke pasaran antarabangsa.
Usaha itu juga memberi ruang kepada pengukuhan perkongsian dengan pengendali telekomunikasi tempatan di pelbagai negara.
Melalui kerjasama itu, ACO Tech dan TMAP Mobility akan menumpukan kepada pembangunan bersama produk-produk yang lebih bersepadu. Ini termasuk integrasi teknologi sistem operasi automotif milik TMAP dengan kepakaran ACO Tech dalam platform awan kenderaan.
Antara rumusan yang bakal ditawarkan termasuk perkhidmatan infotainmen kenderaan seperti navigasi pintar, pembantu suara berasaskan AI, penstriman muzik serta kedai aplikasi yang telah berkhidmat kepada lebih 24 juta pelanggan pada tahun lalu.
Majlis menandatangani MoC itu turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu, Naib Presiden Kanan Bridge Alliance, Alan Yeo, dan Naib Presiden Kanan serta Ketua Data dan Inovasi TMAP Mobility, Park Soha.
Menurut Li Pu, kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting bagi ACO Tech dalam merealisasikan visi jangka panjang syarikat untuk menerajui pembangunan ekosistem mobiliti pintar di rantau ini.
"ACO Tech telah melangkah jauh sejak pelancaran kereta terhubung pertama Malaysia pada 2019 dan kini bersedia untuk memperluaskan lagi jangkauan teknologi dengan sokongan rakan kongsi antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, jaringan global Bridge Alliance serta kepakaran teknikal TMAP Mobility mampu memperkukuh ekosistem ATLAS (ACO Tech Local Automotive Services) yang dibangunkan ACO Tech sekali gus memudahkan penyesuaian rumusannya dalam pelbagai pasaran eksport dan memberi nilai tambah kepada pelanggan OEM serta pengguna akhir.
Buat masa kini, tumpuan utama ketiga-tiga pihak adalah memperluaskan perkhidmatan mobiliti bersambung di seluruh rantau Asia Pasifik sejajar dengan pertumbuhan permintaan terhadap teknologi automotif pintar yang semakin meningkat.- DagangNews.com








