99 Speed Mart diunjur catat CAGR 16.4% antara 2023-2027, kata CGSI Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

99 Speed Mart diunjur catat CAGR 16.4% antara 2023-2027, kata CGSI Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mei - 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 16.4% setiap tahun dari 2023 hingga 2027.

 

Menurut CGS International Research (CGSI Research), pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan jualan dan pendapatan operasi yang dijangka mampu menampung kos pengurusan yang semakin meningkat.

 

Syarikat juga merancang untuk meluaskan perniagaan ke Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, selain mengukuhkan platform membeli-belah dalam taliannya, 99 Bulksales, walaupun dijangka berdepan persaingan yang sengit.

 

 

 

Firma penyelidikan itu memberi saranan 'tahan' dengan harga sasaran RM2.30 sesaham untuk 99 Speed Mart Retail. 

 

CGSI Research menyatakan, harga saham boleh meningkat jika syarikat mencatat jualan lebih tinggi daripada jangkaan dan kos barangan menurun.

 

Namun, ada juga risiko harga saham jatuh disebabkan persaingan yang semakin sengit, permintaan pengguna yang perlahan kerana ekonomi lemah, serta kos operasi yang mungkin lebih tinggi daripada jangkaan.

 

"Antara faktor utama yang mendorong sentimen dan perbelanjaan pengguna tahun ini ialah kenaikan gaji, bantuan tunai lebih tinggi kepada golongan berpendapatan rendah, lebih ramai pelancong, serta harga minyak sawit mentah yang meningkat.

 

"Ini dijangka membantu isi rumah berpendapatan rendah untuk berbelanja lebih," katanya dalam satu nota kajian.

 

Katanya, syarikat mungkin sukar menaikkan harga kerana ingin kekal sebagai peruncit yang menawarkan harga paling berpatutan berbanding pesaing, sekali gus mengekalkan margin keuntungan pada tahap stabil.

 

CGSI Research menambah, pada 2023, perbelanjaan pentadbiran 99 Speed Mart sebahagian besarnya iaitu 59.9 peratus diperuntukkan untuk faedah pekerja, penyusutan nilai aset dan utiliti.

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan, faedah pekerja 99 Speed Mart dijangka meningkat dengan ketara antara 2025 hingga 2027 berikutan pertumbuhan operasi syarikat yang mengupah kebanyakan pekerja tempatan dengan gaji melebihi gaji minimum.

 

Hanya 4% daripada tenaga kerja 99 Speed Mart terdiri daripada pekerja asing.

 

Syarikat sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempercepat perbelanjaan modal tahun ini bagi menaik taraf kecekapan tenaga di kedainya, yang dijangka dapat mengurangkan perbelanjaan utiliti sebanyak 17% berbanding 2023.

 

Syarikat juga merancang untuk membuka 245 lagi cawangan antara 2025 hingga 2027 di seluruh negara, terutamanya di kawasan baharu. - DagangNews.com