99% rakyat Malaysia dijangka guna pembayaran digital baharu dalam tempoh setahun lagi – Mastercard | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

99% rakyat Malaysia dijangka guna pembayaran digital baharu dalam tempoh setahun lagi – Mastercard

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Penggunaan pembayaran digital semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan apabila rakyat Malaysia semakin pantas menerima pilihan pembayaran inovatif dan beralih kepada ekosistem berasaskan mudah alih.

 

Kajian terbaharu Mastercard yang melibatkan pengguna global mengenai pilihan kaedah pembayaran mendapati hampir dua pertiga (63%) pengguna Malaysia kini memilih menggunakan kaedah baharu dan inovatif seperti pembayaran mudah alih Tap & Go, pembayaran biometrik, kod QR dan dompet digital berbanding kaedah tradisional seperti tunai.

 

“Peratusan ini jauh mengatasi Amerika Utara (25%), Eropah (24%) dan purata Asia Pasifik (53%), sekali gus menggambarkan keterbukaan rakyat Malaysia terhadap inovasi dalam pembayaran,” menurut kajian itu.

 

Dapatan itu diperolehi berdasarkan kajian global yang dijalankan oleh The Harris Poll bagi pihak Mastercard yang melibatkan 19,302 pengguna dari lima rantau global, termasuk 9,131 pengguna di Asia Pasifik dan 1,010 dari Malaysia.

 

Ia dilaksanakan melalui tinjauan kuantitatif dalam talian dari 4 hingga 20 September 2024, meliputi rantau Amerika Utara, Amerika Latin & Caribbean, Eropah, Timur Tengah & Afrika, serta Asia Pasifik (APAC).

 

Pasaran APAC yang terlibat termasuk Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia & Brunei Beena Pothen berkata, trend penggunaan pembayaran digital di Malaysia dijangka terus meningkat dengan 99% pengguna menyatakan mereka berkemungkinan besar menggunakan kaedah pembayaran digital baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

test

 

“Selain itu, 93% daripada mereka juga mahu mempunyai lebih banyak pilihan dan merancang menggunakan sekurang-kurangnya lima kaedah pembayaran berbeza dalam tempoh sama.

 

“Walaupun tunai masih kekal sebagai kaedah pembayaran paling banyak digunakan di Malaysia iaitu sebanyak 70% pengguna dalam setahun lalu — ia hanya sedikit mengatasi penggunaan kod QR (64%).

 

“Namun, penggunaan kaedah pembayaran digital dijangka meningkat dalam setahun akan datang, dengan 86% pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan pembayaran segera, 85% menggunakan kod QR, dan 83% menggunakan dompet digital,” katanya.

 

Kajian itu juga menunjukkan kecenderungan terhadap inovasi turut merangkumi teknologi baharu lain dengan 89% pengguna Malaysia menyatakan kesediaan untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan kewangan mereka.

 

“Ini khususnya dalam aspek pengesanan penipuan, automasi pembayaran, perincian produk dan ramalan kewangan.

 

“Terdapat juga peningkatan permintaan untuk kaedah pembayaran yang dapat memaksimumkan nilai perbelanjaan pengguna, di mana 91% rakyat Malaysia bersetuju status kewangan semasa mereka mempengaruhi pilihan kaedah pembayaran,” jelasnya.

 

Seiring dengan pertambahan pilihan pembayaran, pengguna kini mencari cara yang amat mudah untuk mengurus kewangan selaras dengan tabiat digital mereka.

 

Beliau berkata, pengguna mahukan fleksibiliti untuk menyesuaikan cara pembayaran, termasuk pembayaran rakan ke rakan (peer-to-peer), pembayaran kepada peniaga (peer-to-merchant), kod QR, peranti boleh pakai (wearables), dan pembelian dalam aplikasi sosial.

 

“Sebanyak 92% rakyat Malaysia juga bersetuju bahawa syarikat perlu memudahkan proses pembelian untuk pengguna, manakala 86% percaya mereka harus boleh membeli apa-apa, pada bila-bila masa, tanpa mengira jenis kaedah pembayaran yang digunakan.

 

“Di Malaysia, 75% pengguna menggunakan atau mahukan aplikasi serba lengkap (super app) untuk mengurus pembayaran, pembelian dan lain-lain keperluan.

 

“Apabila platform seperti ini semakin meluas, penyedia perkhidmatan pembayaran perlu hadir di mana pengguna berada dan bukan sebaliknya,” katanya.

 

test

 

Tambahnya, trend membeli-belah melalui media sosial kini menjadi kelaziman, terutamanya dalam kalangan pengguna muda.

 

Di Malaysia, 54% pengguna Gen Z dan 46% Milenial lebih gemar membeli melalui aplikasi sosial berbanding laman web peniaga.

 

Malah, 72% rakyat Malaysia menyatakan keputusan pembelian mereka kini dipengaruhi oleh individu berpengaruh (influencer) — lapan mata peratusan lebih tinggi daripada purata rantau Asia Pasifik.

 

“Oleh itu, integrasi pembayaran lancar dalam ruang digital seperti media sosial amat penting bagi menyokong peralihan daripada sekadar melihat kepada membeli.

 

“Walaupun 72% pengguna Malaysia melihat pembayaran biometrik sebagai lebih selamat berbanding kaedah tradisional, 84% pengguna menyatakan kebimbangan mengenai siapa yang mengakses data mereka

 

“Ini adalah cabaran dalam aspek keselamatan data tanpa menjejaskan kawalan dan kemudahan,” katanya.

 

Oleh itu, penyelesaian Mastercard seperti tokenisasi, Payment Passkeys dan pengesahan dipacu AI membantu merapatkan jurang kepercayaan ini.

 

Tambahnya, permintaan pengguna yang semakin tinggi ini menyerlahkan keperluan untuk inovasi kewangan yang direka khusus untuk era digital yang bukan sekadar penambahbaikan kepada sistem lama.

 

"Mastercard terus melabur dalam pengalaman digital berasaskan mudah alih dan AI ejen seperti Agent Pay, yang menyokong pengguna dalam setiap langkah perjalanan transaksi.

 

“Dapatan ini mengukuhkan lagi hakikat bahawa evolusi digital dalam sistem pembayaran kini menjadi arus perdana di Malaysia. Gaya hidup digital dan berasaskan mudah alih kini membentuk tingkah laku pengguna.

 

“Justeru, inovasi serta keselamatan dalam pembayaran akan menjadi pemacu utama kepada kemajuan berterusan ini. Mastercard komited untuk meneruskan kemajuan dalam bidang ini dengan memanfaatkan kepakaran teknologi, pandangan global dan pengalaman mendalam demi menawarkan kemudahan dan keyakinan dalam setiap pengalaman pembayaran rakyat Malaysia,” katanya.- DagangNews.com