KUALA LUMPUR 6 Okt – Kajian terbaharu oleh Nippon Paint Malaysia bersama Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM) mendedahkan kelemahan ketara dalam penyelenggaraan bangunan di negara ini.
Isu kebocoran dan resapan air dikenal pasti sebagai ancaman paling kritikal terhadap ketahanan struktur serta nilai hartanah jangka panjang.
Kajian yang dijalankan pada Ogos 2025 itu melibatkan pengurus harta, arkitek, jurutera dan pengurus fasiliti dari seluruh negara bagi menilai amalan penyelenggaraan bangunan kediaman serta komersial di Malaysia.
Hasilnya menunjukkan sebahagian besar pemain industri masih beroperasi dalam budaya penyelenggaraan yang hanya bertindak selepas kerosakan berlaku.
Presiden MIPFM, Ishak Ismail berkata, hasil kajian tersebut memberi gambaran jelas tentang cabaran penyelenggaraan yang dihadapi industri, namun pada masa sama membuka ruang untuk memperkukuh piawaian pengurusan bangunan.
“Dengan memahami punca masalah lebih awal, kita boleh bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mewujudkan sistem penyelenggaraan yang lebih proaktif.
“Langkah ini bukan sahaja melindungi bangunan, tetapi juga memberi manfaat kepada pemilik, pelabur dan penyewa dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dapatan kajian menunjukkan lebih 40% profesional hartanah hanya menjalankan pemeriksaan bangunan sekali setahun, manakala satu daripada enam hanya melakukannya setiap suku tahun.
Pendekatan ini meningkatkan risiko kerosakan kecil yang tidak disedari sehingga menjadi masalah besar seperti kebocoran dan resapan air.

Isu kalis air menjadi tumpuan utama apabila 90% responden melaporkan kebocoran bumbung dan 90% lagi menghadapi masalah resapan dinding.
Selain itu, 70% mengakui berlaku kebocoran di bilik air, dapur dan ruang basah, menjadikannya antara masalah paling biasa dan sering berulang dalam pengurusan bangunan.
Lebih membimbangkan, sebahagian besar responden mengaku menangguhkan kerja pembaikan kalis air kerana kekangan kos operasi.
Bagaimanapun, kelewatan ini hanya mempercepatkan kerosakan, meningkatkan kos pembaikan dan memendekkan jangka hayat aset.
Menurut Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck, kegagalan sistem kalis air bukan sekadar masalah kosmetik, tetapi memberi kesan langsung terhadap keselamatan, kewangan dan reputasi pemilik bangunan.
“Menangani kebocoran lebih awal bukan sahaja menjimatkan kos, malah membantu mengekalkan nilai aset dan keyakinan pelabur.
“Untuk kekal berdaya saing, Malaysia mesti beralih daripada pendekatan pembaikan jangka pendek kepada perlindungan pencegahan,” katanya.
Kajian turut mendapati dua pertiga profesional hartanah hanya berpuas hati pada tahap sederhana terhadap kualiti kerja vendor penyelenggaraan.
Ini mencerminkan kekurangan piawaian dan pengawasan industri, yang akhirnya menjejaskan ketelusan serta kecekapan kerja pembaikan.
Selain itu, peraturan sedia ada yang menetapkan 10% dana penyusutan (sinking fund) daripada kutipan penyelenggaraan juga dilihat tidak lagi mencukupi bagi menampung kos pembaikan besar seperti kalis air, cat semula dan penggantian lif.
Ketika Malaysia sedang berusaha menjadi hab pelaburan dan pembangunan lestari di rantau ini, daya tahan bangunan menjadi faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur asing.
Kajian ini memberi amaran bahawa kelemahan penyelenggaraan boleh menjejaskan daya saing sektor hartanah tempatan.
Sebagai langkah proaktif, Nippon Paint memperkenalkan platform Total Coating & Construction Solutions (TCCS) yang menggabungkan sistem simen pracampuran, teknologi kalis air dan penyelesaian cat semula untuk iklim tropika Malaysia.
Melalui TCCS, pemilik bangunan boleh beralih kepada sistem penyelenggaraan menyeluruh yang mampu memanjangkan jangka hayat struktur, mengurangkan beban kewangan jangka panjang dan melindungi nilai aset.
Dengan lebih 50 tahun pengalaman di Malaysia, Nippon Paint kekal sebagai peneraju penyelesaian pembinaan bersepadu melalui inovasi seperti membran cecair NippoSEAL, membran helaian NippoGARD dan membran simen NippoCEM yang kini digunakan secara meluas dalam projek perumahan, komersial dan infrastruktur. - DagangNews.com








