KUALA LUMPUR 26 Sept - Projek kondominium mewah terbaharu daripada Selangor Dredging Berhad, DaMai berjaya mencuri tumpuan pasaran tempatan dengan 80% unit bagi pelancaran pertamanya berjaya dimiliki selepas dilancarkan pada Julai lalu.
Projek DaMai yang menggunakan konsep 'letak kereta di depan pintu kediaman', menjadikannya kondominium pertama di Malaysia yang menawarkan pembeli rumah privasi dan keluasan seperti kediaman bertanah yang digabungkan dengan keselamatan serta kemudahan fasiliti kondominium.
Dengan keluasan unit bermula daripada 2,000 kaki persegi dan dilengkapi sekurang-kurangnya tiga lot parkir khas, DaMai menawarkan pengalaman yang menggabungkan keluasan seperti rumah teres.
Pengarah Urusan Selangor Dredging, Teh Lip Kim berkata, sambutan hangat itu membuktikan minat pembeli terhadap konsep kediaman yang bukan sahaja selesa, tetapi juga berinovasi.
“DaMai menetapkan penanda aras baharu dalam cara orang memilih untuk tinggal, dengan reka bentuk yang memudahkan kehidupan harian dan memberi nilai jangka panjang kepada pemilik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, projek kediaman Senai iaitu vila berkembar tepi tasik yang merangkumi 209 unit di Taman Putra Perdana, Puchong, dijadualkan untuk pelancaran rasmi pada akhir 2025 selepas kempen pendaftaran yang dijalankan pada hujung tahun lalu.
Direka dengan penekanan kuat terhadap kelestarian dan inovasi gaya hidup, Senai bakal menjadi komuniti berpagar dan berpengawal yang dikelilingi kehijauan semula jadi serta pelbagai kemudahan menyeluruh, menawarkan seisi keluarga persekitaran hidup yang sihat dan berinspirasi alam.
“Senai dibangunkan sebagai projek tepi tasik yang mentakrif semula kehidupan bertanah dengan menggabungkan inovasi, gaya hidup dan nilai.
"Vila berkembar tiga tingkat ini direka rapi agar selaras dengan persekitaran semula jadi, sekali gus menawarkan suasana kediaman yang tenang dan menginspirasi.
"Kami percaya Senai akan mendapat sambutan positif daripada pembeli rumah yang mementingkan bukan sahaja keselesaan dan fungsi, tetapi juga hubungan bermakna dengan alam semula jadi serta nilai jangka panjang,” kata Lip Kim.
Sepanjang tahun kewangan yang dikaji, projek-projek berjalan SDB iaitu 19Trees di Taman Melawati dan Jia di Taman Bukit Serdang terus menunjukkan prestasi kukuh, dengan kedua-duanya telah habis dijual dan kini berada di peringkat akhir pembinaan.
Kedua-dua projek dijadual siap serta diserahkan untuk pengosongan menjelang akhir 2025, sekali gus mengukuhkan lagi rekod pencapaian kumpulan.- DagangNews.com








