684 peserta hasilkan 140 projek AI hanya dalam 24 jam di hackathon anjuran Cursor Community | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

684 peserta hasilkan 140 projek AI hanya dalam 24 jam di hackathon anjuran Cursor Community

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis – Satu hackathon AI terbesar di Malaysia berjaya menggabungkan 684 pembangun, pereka dan pengasas syarikat pemula selama 24 jam berturut-turut di Universiti Monash Malaysia.

 

Acara ini yang dikenali sebagai Cursor x Anthropic Hackathon Malaysia berjaya menghasilkan sebanyak 140 projek AI yang dibangunkan dan dibentangkan oleh peserta dalam tempoh yang singkat.

 

Penganjur acara tersebut yang dikenali sebagai Faw berkata, format 24 jam hackathon ini mencipta pengalaman intensif yang jarang berlaku dalam persidangan biasa.

 

“Pasukan dibentuk pada pagi pertama, membuat kod sepanjang malam dan membentangkan aplikasi lengkap menjelang petang Ahad.

 

“Acara ini disokong oleh syarikat teknologi global bernilai berbilion dolar seperti Cursor, Anthropic, AWS, Vercel, Groq, ElevenLabs serta lebih 20 penaja lain.

 

“Peserta bukan sahaja mendapat tajaan, malah turut mendapat akses terus kepada alat pembangunan AI sebenar termasuk kredit pembangunan sehingga AS$5,000 dan akses API Claude bernilai AS$1,000 untuk pasukan pemenang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Salah satu ciri unik hackathon ini ialah pembentukan pasukan secara spontan.

 

Sekitar 24% peserta hadir secara solo, tidak mengenali antara satu sama lain dan kemudiannya bergabung dalam satu pasukan.

 

Pelajar bergabung dengan pembangun berpengalaman, pereka bekerjasama dengan pengasas, dan pakar teknikal bertemu rakan perniagaan.

 

Hasilnya, setiap pasukan mempunyai gabungan kemahiran teknikal dan kemampuan komersial sejak hari pertama ia diwujudkan.

 

Projek yang dibangunkan mencakupi pelbagai bidang, termasuk AI suara, pangkalan data perusahaan, perbankan digital dan alat kreatif.

 

Sekitar 28% pasukan memberi tumpuan kepada penyelesaian perbankan digital, menunjukkan Malaysia semakin berkembang sebagai hab teknologi kewangan serantau.

 

Sepanjang acara, peserta juga mendapat peluang menghadiri bengkel untuk mempelajari aliran kerja dan teknik pembangunan AI terkini.

 

Lebih 70 sukarelawan membantu memastikan suasana yang kondusif dan menyokong peserta sepanjang 24 jam ia berlangsung.

 

Hackathon ini merupakan sebahagian daripada festival pembina AISEA yang berlangsung selama dua minggu merentasi lima negara Asia Tenggara.

 

Acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga usaha membina komuniti pembangunan AI serantau dan rangkaian profesional rentas negara.

 

Sementara itu, pengasas AI Tinkerers Kuala Lumpur dan salah seorang juri, Joseph Chin berkata, hasil projek yang dibangunkan peserta Malaysia sangat berkualiti.

 

“Malah, dua beradik yang baru pertama kali menyertai hackathon berjaya memenangi keseluruhan pertandingan ini.

 

“Kejayaan acara ini menunjukkan potensi bakat teknologi Malaysia dan menjadi permulaan terbaik bagi ekosistem AI negara,” katanya.- DagangNews.com