KUALA LUMPUR 4 April - Empat syarikat perladangan iaitu SD Guthrie Bhd, Genting Plantations Bhd, Johor Plantations Group Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) akan menjadi penerima manfaat utama sekiranya projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dilaksanakan, kata AmInvestment AmInvestment Bank Research.
Katanya, syarikat-syarikat ini mempunyai ladang kelapa sawit berhampiran stesen HSR, selain ladang kelapa sawit, Genting Plantations mempunyai dua projek hartanah di Johor iaitu Genting Indahpura di Kulai dan Pura Kencana di Batu Pahat.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan jajaran asal, SD Guthrie mempunyai tanah terbanyak dengan mereka mempunyai ladang kelapa sawit seluas 3,200 hektar di Labu, Negeri Sembilan dan kira-kira 11,900 hektar di Muar dan Kulai.
"KLK mempunyai 1,915 hektar tanah ladang di Kulai, iaitu di utara Iskandar Puteri dan 631 hektar di Pagoh, Muar manakala Genting Plantations mempunyai 5,787 hektar tanah ladang di Batu Pahat dan 2,427 hektar di Kulai dan Johor Plantations Group mempunyai 2,808 hektar ladang kelapa sawit di Kulai.
"Walaupun IOI Corporation Bhd dan Kim Loong Resources Bhd mempunyai ladang di Johor tetapi lokasi mereka jauh dari jajaran HSR," katanya dalam satu nota kajian.
Berdasarkan harga pasaran konservatif sebanyak RM350,000 sehektar bagi Negeri Sembilan dan RM500,000 sehektar bagi Johor, pihaknya menganggarkan 15,100 hektar tanah milik SD Guthrie Bhd berhampiran stesen HSR di Johor dan Negeri Sembilan bernilai RM7.1 bilion atau RM1.02 sesaham.
"Tanah ladang seluas 8,214 hektar milik Genting Plantation Bhd di Johor dianggarkan bernilai RM4.1 bilion (RM4.58 sesaham), manakala 2,546 hektar tanah milik Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) boleh bernilai RM1.3 bilion (RM1.14 sesaham).
"Tanah milik Johor Plantations Group di Kulai dianggarkan bernilai RM1.4 bilion (56 sen sesaham) berbanding nilai buku bersihnya sebanyak RM267.1 juta," katanya.
Disebabkan pertambahan pusat data, harga tanah di Johor melambung tinggi. Pada 2024, KLK memperoleh baki 40% kepentingan ekuiti dalam anak syarikat hartanah Johor, yang menilai tanah di Kulai pada RM8.87/kaki persegi.
Pelupusan tanah Crescendo Corporation di Pulai kepada pelbagai syarikat menilai tanah antara RM120/kaki persegi dan RM130/kaki persegi. Pada tahun 2023, Matang Bhd memperoleh 56 hektar tanah di Batu Pahat untuk RM30.6 juta, yang diterjemahkan kepada RM545,825 sehektar.
"Pada 2021, YTL Power membeli tanah seluas 664 hektar daripada Boustead Plantations pada harga RM428.8 juta atau RM645,783 sehektar.
"Sebarang penjualan tanah akan mengakibatkan hasil durian runtuh kepada syarikat perladangan. Penanam akan dapat untuk membayar lebih banyak dividen, mengurangkan pinjaman atau menyimpan wang tunai untuk pelaburan masa hadapan," katanya.
AmInvestment berkata, syarikat perladangan dengan aktiviti pembangunan hartanah juga akan mendapat manfaat
Firma penyelidikan itu percaya HSR akan menghasilkan aktiviti ekonomi yang lebih tinggi, yang akan memberi manfaat kepada sektor hartanah di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Kami berpendapat syarikat dengan projek hartanah di sekitar stesen HSR akan mendapat manfaat.
"Syarikat-syarikat ini termasuk Genting Plantations dan SD Guthrie. Perbandaran Genting Indahpura GenP terletak di atas tanah seluas lebih 2,751.86 hektar manakala Pura Kencana merangkumi 3,642.17 hektar di Batu Pahat," katanya.- DagangNews.com








