KUALA LUMPUR 15 Dis – Kerajaan menjana potensi pelaburan berjumlah RM493.65 bilion melibatkan 181 projek, hasil daripada 37 misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara sejak 2023 hingga 2025, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.
Beliau berkata, daripada jumlah potensi pelaburan RM493.65 bilion itu, sebanyak 52 projek bernilai RM123.8 bilion telah diluluskan setakat ini, manakala 38 projek dengan nilai RM48.9 bilion disasarkan untuk dimuktamadkan dalam tahun 2025.
“Baki projek melibatkan pelaburan bernilai RM320.9 bilion pula dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh antara 2026 hingga 2028, tertakluk kepada rundingan lanjut dan pematuhan keperluan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong mengenai keberkesanan lawatan luar negara dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) di Parlimen hari ini.
Tambahnya, misi perdagangan dan pelaburan termasuk lawatan rasmi yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan strategi jangka panjang untuk mengukuhkan hubungan diplomatik, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
“Inisiatif ini bertujuan membantu vendor dan pembekal tempatan berskala kecil agar dapat menyertai rantaian bekalan global yang diwujudkan melalui kemasukan pelaburan asing.
“Saya juga ingin menjelaskan perbezaan istilah antara FDI dan pelaburan asing (Foreign Investment – FI), susulan kekeliruan awam terhadap angka pelaburan yang diumumkan hasil lawatan luar negara.
“FDI merujuk kepada transaksi kewangan sebenar melibatkan aliran masuk dan keluar pelaburan asing seperti yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), manakala FI pula merujuk kepada cadangan projek pelaburan yang diusulkan oleh pelabur dan diguna pakai oleh MITI,” katanya.
Dalam masa sama, MITI mengakui wujud pandangan dalam kalangan penggiat industri tempatan bahawa sebahagian pelaburan asing yang dibawa masuk sebelum ini tidak memberikan kesan limpahan ekonomi yang memuaskan kepada industri dan syarikat tempatan.
Bagi menangani isu tersebut, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang menjalani proses transformasi untuk memperkukuh peranan pemantauan terhadap pelaburan yang telah diluluskan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan pelabur mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan agar pelaburan benar-benar memberi kesan limpahan ekonomi maksimum, selaras dengan pelaksanaan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (New Investment Incentive Framework – NIIF).
“Selain itu, kementerian berkenaan turut dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pembangunan Perindustrian serta menambah baik Akta Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan pelaburan.
“Langkah-langkah tersebut bertujuan memastikan pelaburan asing yang masuk ke negara ini bukan sekadar diumumkan sebagai potensi, tetapi benar-benar direalisasikan dan memberi manfaat berterusan kepada industri serta ekonomi tempatan,” katanya. - DagangNews.com








