32 misi perniagaan antarabangsa dengan potensi jualan RM2.49 bilion dilaksanakan sepanjang 2025, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

32 misi perniagaan antarabangsa dengan potensi jualan RM2.49 bilion dilaksanakan sepanjang 2025, Parlimen diberitahu

Gambar fail BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis – Kerajaan telah melaksanakan 32 misi perniagaan antarabangsa di beberapa negara seperti China, Kazakhstan, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia dengan penyertaan 1,163 usahawan tempatan sepanjang tahun 2025.

 

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, kesemua misi itu berjaya mencatatkan potensi jualan berjumlah RM2.49 bilion, bagi meneroka pasaran baharu di peringkat global.

 

“Usaha ini sebahagian daripada inisiatif KUSKOP untuk memperkukuh daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan, selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

 

“Matlamat utama adalah meningkatkan peratusan syarikat bersaiz sederhana daripada 1.8% kepada 5% serta menyumbang 50% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030,” kata Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen.

 

Kenyataan itu menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang mahu penjelasan bagaimana kerajaan memastikan  IKS tempatan kekal berdaya saing apabila Malaysia menandatangani perjanjian RTA dengan Amerika Syarikat.

 

Antara langkah utama yang dilaksanakan kerajaan termasuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan PMKS untuk menceburi aktiviti bernilai tambah tinggi melalui program pembangunan bersasar, memudahkan akses kepada pembiayaan alternatif bagi pelaburan teknologi, inovasi dan pengkomersialan.

 

"Selain itu, kementerian juga menyalurkan pembiayaan dan kemudahan pinjaman lebih fleksibel, memperkukuh sinergi antara kementerian dan agensi untuk pengantarabangsaan PMKS, termasuk pematuhan pensijilan halal dan amalan ESG.

 

"KUSKOP juga meningkatkan penyenaraian syarikat PMKS di papan pasaran melalui sokongan kewangan dan teknikal, mempercepat peralihan PMKS ke amalan hijau, automasi dan pendigitalan, menambahbaik infrastruktur perniagaan, termasuk premis dan peranti digital untuk e-dagang.

 

"Selain itu, meningkatkan kapasiti PMKS untuk menceburi aktiviti bernilai tambah tinggi, memudahkan akses pembiayaan alternatif, menyalurkan pinjaman lebih fleksibel, memperkukuh kerjasama kementerian dan agensi untuk PMKS di peringkat antarabangsa," katanya. - DagangNews.com