KUALA LUMPUR 13 Okt – Karnival Usahawan Kedah 2025 bakal menjadi platform penting yang menghimpunkan 300 usahawan tempatan pelbagai sektor bagi memperkenalkan produk mereka secara langsung kepada pengguna yang akan merancakkan aktiviti ekonomi negeri itu.
Acara yang berlangsung selama empat hari itu akan diadakan di pekarangan Amanjaya Mall, Sungai Petani dari 16 hingga 19 Oktober ini bersempena Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat negeri Kedah.
Kesemua usahawan itu mewakili pelbagai bidang perniagaan termasuk makanan dan minuman, pertanian serta industri asas tani, kraftangan, tekstil, kesihatan, kecantikan dan perkhidmatan.
Selain menjadi medan jualan dan promosi produk tempatan, penganjuran ini juga diharap dapat memperluas pasaran usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran terbuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, ini merupakan kali kedua karnival seumpamanya dianjurkan selepas kejayaan edisi pertama pada 2023.
Katanya, pada penganjuran terdahulu, nilai jualan yang dicatatkan mencecah RM725,900 dengan jumlah pengunjung melebihi 68,000 orang, sekali gus membuktikan potensi besar acara tersebut sebagai pemangkin ekonomi negeri.

“Dengan penyertaan lebih ramai usahawan tahun ini, kita optimis jumlah pengunjung akan meningkat dan nilai jualan akan lebih tinggi.
“Produk yang ditawarkan juga lebih pelbagai, mampu menarik minat pelbagai segmen pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Karnival itu juga merupakan antara acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Kedah 2025, sekali gus berperanan mempromosikan keunikan cita rasa, budaya dan hasil tangan rakyat negeri itu kepada pelancong luar.
Selain jualan dan pameran, pelbagai aktiviti sampingan turut disusun bagi menarik kehadiran orang ramai termasuk persembahan hiburan, dengan kumpulan Hijjaz antara yang dijadual membuat persembahan.
Tambahnya, agensi kerajaan juga akan turut serta membuka gerai perkhidmatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) yang akan menyediakan kaunter pembayaran saman bagi memudahkan urusan pengunjung.
Penganjuran karnival itu bukan sahaja sebagai platform mempromosi produk tempatan tetapi juga sebagai pemangkin keusahawanan negeri, menghubungkan usahawan dengan pengguna dan pelancong serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan secara menyeluruh. - DagangNews.com








