KUALA LUMPUR 3 Okt – Malaysia akan menonjolkan keistimewaan sektor makanan dan minuman (F&B) pada pameran perdagangan terbesar dunia yang berlangsung di Cologne, Jerman bermula 4 hingga 8 Oktober ini.
Sebanyak 26 syarikat akan menyertai pameran itu di bawah Pavilion Malaysia yang akan mengetengahkan produk keluaran masing-masing.
Delegasi yang diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu termasuk agensi daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Lembaga Koko Malaysia.
Antara produk yang dipamerkan merangkumi derivatif minyak sawit, kopi, teh dan koko, serta makanan sedia dimakan, snek, makanan sejuk beku.
MATRADE dalam satu kenyataan memaklumkan produk yang mempunyai sijil halal akan menjadi tumpuan utama, dengan forum dalam pameran itu menjadi platform bagi pengeksport Malaysia untuk berinteraksi dengan pemain industri global.
“Pada 2024, eksport makanan terproses Malaysia ke Eropah ialah sebanyak RM3.48 bilion, meningkat 70% berbanding tahun sebelumnya.
“Antara Januari hingga Ogos 2025, eksport ke Kesatuan Eropah bernilai RM1.73 bilion dengan penghantaran ke Jerman meningkat hampir 80% tahun ke tahun,” katanya.
Selain itu, eksport Halal Malaysia ke seluruh dunia mencapai RM61.8 bilion pada 2024, meningkat 15% berbanding 2023.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, negara menyasarkan RM80 bilion dalam eksport halal menjelang 2030.
MATRADE berkata, sektor makanan halal di Eropah, yang dijangka melebihi AS$600 bilion dalam dekad akan datang, menawarkan peluang bagi Malaysia untuk mengembangkan jejak pasaran.
“Penyertaan Malaysia ke pameran di Jerman ini juga berperanan sebagai pintu masuk ke pasaran Eropah serta pasaran berkembang seperti Afrika, Eropah Timur dan Amerika Latin,” katanya.- DagangNews.com








