2.5 juta hidangan maggi dimakan setiap hari di Malaysia, Nestle 'kuasai' lebih 40% pasaran mi segera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

2.5 juta hidangan maggi dimakan setiap hari di Malaysia, Nestle 'kuasai' lebih 40% pasaran mi segera

Gambar: maggi.my
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 April - Rakyat Malaysia sememangnya penggemar setia Maggi! Purata 2.5 juta hidangan mi segera Maggi dinikmati setiap hari di negara ini, menguasai lebih 40% bahagian pasaran mi segera.

 

Menurut laporan CIMB Research, setakat Januari 2025, bahagian pasaran Maggi terus mencatat peningkatan tahunan.

 

"Produk Maggi ada di sembilan daripada 10 rumah rakyat Malaysia. 

 

 

"Selain mi segera, jualan memberangsangkan turut disumbang produk seperti perasa, sos dan stok," katanya berdasarkan satu penyelidikan dalaman Nestle.

 

Menurut firma penyelidikan itu, bagi tahun kewangan 2024, sekitar 45% hingga 50% daripada jualan Nestle datang daripada segmen makanan, termasuk jenama seperti Maggi.

 

CIMB Research mengekalkan penarafan "pegang" terhadap saham Nestle dengan harga sasaran RM92.00 sesaham.

 

Antara risiko utama terhadap unjuran pendapatan Nestle dari tahun 2025 hingga 2027 termasuk penurunan corak perbelanjaan pengguna akibat ketidaktentuan pasaran global seperti pelaksanaan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) termasuk Malaysia.

 

Namun, firma itu percaya, penilaian semasa saham Nestle sudah mengambil kira unjuran jangka pendek yang lemah, dengan saham kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 32 kali untuk tahun 2025.

 

CIMB Research turut menjangka risiko kejatuhan harga saham Nestle adalah terhad buat masa ini, disokong oleh permintaan stabil terhadap barangan asas, kekuatan jenama, serta produk yang pelbagai dalam kategori makanan dan minuman utama.

 

Di Malaysia, Nestle mengendalikan enam kilang, menghasilkan pelbagai produk jenama seperti Maggi, Nescafe dan Milo.

 

Syarikat itu turut mengeksport produk ke 50 negara, menjadikan pensijilan halal sebagai nilai jualan utama. 

 

Antara produk eksport utama ialah Maggi, Milo dan produk berasaskan kopi ke pasaran seperti Australia, New Zealand, Singapura, Brunei dan Asia Barat.

 

CIMB Research baru-baru ini turut melawat kilang pembuatan Maggi di Batu Tiga, Selangor, yang menghasilkan sehingga 132 jenis unit produk Maggi. - DagangNews.com