KUALA LUMPUR 13 Jan – Capital A Berhad akan mengemukakan permohonan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 pada 19 Januari 2026 dengan perbicaraan mahkamah terakhir dijadualkan berlangsung pada 21 Januari 2026.
Ia adalah langkah penting ke arah menamatkan proses penstrukturan semula kumpulan itu selepas enam tahun diklasifikasikan sebagai syarikat di bawah kategori PN17.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada latihan korporat berterusan Capital A, termasuk cadangan pelupusan perniagaan penerbangannya, yang dijangka meletakkan semula kumpulan itu sebagai sebuah syarikat bukan penerbangan yang lebih fokus, dengan kedudukan kunci kira-kira yang lebih bersih serta hala tuju strategik yang lebih jelas.
Sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula, pengagihan saham AirAsia X Berhad kepada pemegang saham Capital A dijangka berlaku dalam masa terdekat dan akan dilaksanakan selepas selesai penempatan persendirian AirAsia X bernilai RM1 bilion.
Saham AirAsia X akan diagihkan kepada pemegang saham Capital A paling lewat pada hari Jumaat.
Selepas itu, saham yang telah diagihkan akan mula diniagakan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Isnin berikutnya.
Status PN17 ialah klasifikasi oleh Bursa Malaysia untuk syarikat yang menghadapi tekanan kewangan serius dan perlu menyusun semula operasi serta kewangan mereka bagi kekal disenaraikan di bursa.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes berkata tempoh enam tahun lalu memerlukan perubahan asas dan keputusan sukar bagi memastikan kelangsungan kumpulan.
“Usaha tersebut kini sebahagian besarnya telah diselesaikan. Ini merupakan beberapa langkah terakhir dan tidak lama lagi kami dapat menutup bab ini serta bergerak ke hadapan dengan asas yang jauh lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan penstrukturan semula yang hampir selesai, Capital A akan meningkatkan penglibatan bersama penganalisis dan pelabur melalui siri jelajah pelabur di dalam dan luar negara dalam beberapa bulan akan datang.
Jelajah tersebut bertujuan menyampaikan visi pasca penstrukturan semula yang tertumpu kepada lima teras perniagaan utama, iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), logistik, agensi pelancongan dalam talian (OTA), makanan dan minuman (F&B) serta penjenamaan.
Selain itu, Capital A merancang untuk menganjurkan Hari Pelabur selepas penutupan suku keempat, setelah mendapat gambaran penuh terhadap prestasi kewangan tahun 2025 berdasarkan keputusan tidak diaudit.
Sesi tersebut akan memberikan penjelasan lebih mendalam mengenai segmen perniagaan kumpulan, keutamaan kewangan serta pelan penciptaan nilai jangka panjang.
Pengumuman ini menandakan fasa akhir penstrukturan semula Capital A sebelum kumpulan itu melangkah ke hala tuju baharu sebagai syarikat bukan penerbangan yang lebih fokus dan berdaya saing. - DagangNews.com








