KUALA LUMPUR 18 Ogos – Sebanyak 1,856 pegawai perubatan dan 1,754 jururawat telah meletak jawatan daripada hospital awam antara tahun 2020 hingga tahun lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan telah melantik 13,349 pegawai perubatan dan 8,121 jururawat baharu di hospital awam dalam tempoh yang sama untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Kementerian sedar akan keperluan untuk menambah bilangan pegawai perubatan selari dengan jumlah pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan kita,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu bilangan doktor dan jururawat yang meletak jawatan dari 2020 hingga 30 Jun tahun ini, serta jumlah doktor dan jururawat baharu yang dilantik dalam tempoh sama.
Sehubungan itu, bagi memastikan bilangan pegawai perubatan sentiasa mencukupi, Dr Dzulkefly berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman khas untuk melantik lebih ramai doktor kerajaan pada tahun ini.
“Seramai 13,552 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan jawatan tetap dari 2023 sehingga kini, melebihi sasaran kerajaan iaitu 12,800 pegawai perubatan sepanjang tempoh tersebut.
“Jumlah ini bersamaan purata 4,000 pegawai perubatan dilantik setiap tahun,” tambahnya.
Selain itu, Dr Dzulkefly turut memaklumkan kuota jururawat pelatih juga telah ditingkatkan daripada 1,000 kepada 3,000 tempat dengan peningkatan tiga kali ganda.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah memperuntukkan 960 tempat bagi melantik pegawai perubatan tetap bagi menangani kekurangan kakitangan di Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com








