Sultan Ibrahim berkenaan rasmikan Pangkalan TLDM Johor Bahru dan markas pasukan simpanan tentera laut | DagangNews Skip to main content

Sultan Ibrahim berkenaan rasmikan Pangkalan TLDM Johor Bahru dan markas pasukan simpanan tentera laut

Pangkalan TLDM Johor Bahru yang juga menempatkan Markas PSSTLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 27 Sept - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat pada Majlis Perasmian dan Penamaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Johor Bahru di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor. 

 

Baginda menerima tabik hormat diraja dan memeriksa kawalan kehormatan utama daripada tiga pegawai dan 103 anggota KD Malaya.

 

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

 

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

Sultan
Sultan Ibrahim memeriksa kawalan kehormatan utama KD Malaya.

 

Sultan

 

Sultan Johor telah dipersembahkan dengan gimik perasmian melibatkan aksi penerjunan anggota Pasukan Khas Laut KD Panglima Hitam secara fast-roping dari helikopter operasi maritim TLDM. 

 

Baginda turut berkenan menandatangani plaque perasmian dan penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru. 

 

Pangkalan ini dinamakan sebagai Pangkalan TLDM Johor Bahru kerana lokasinya yang berhampiran dengan ibu negeri Johor. 

 

Cadangan ini mengambil kira nama pangkalan utama yang diambil sempena bandar utama yang berhampiran. 

 

Aksi
Demonstrasi kemahiran anggota KD Panglima Hitam.

 

Terletak di Mukim Plentong, kawasan ini seluas 47 ekar yang mana 17 ekar telah digunakan bagi pembinaan pangkalan dan baki 30 ekar untuk pembangunan akan datang.

 

Projek pembinaan pangkalan ini bermula pada 20 Disember 2016 dan siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada TLDM pada 6 Mac 2020. 

 

Pangkalan TLDM Johor Bahru ini menjadi penempatan Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM (PSSTLDM) dan KD Sri Medini.

 

Navy

 

Markas Pemerintahan PSSTLDM telah berpindah dari Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut dan beroperasi mulai Februari 2020. 

 

Kompleks ini menyediakan pusat latihan yang lengkap dan menempatkan keperluan ketenteraan terkini, tempat tinggal pegawai dan anggota serta pelatih yang lebih selesa.- DagangNews.com