RHB Investment jangka inflasi naik seawal suku kedua 2024 jika pengurangan subsidi diesel, petrol dilaksana | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka inflasi naik seawal suku kedua 2024 jika pengurangan subsidi diesel, petrol dilaksana

Ketika ini, tarikh kuat kuasa rasionalisasi subsidi bahan api dengan harga runcit baharu belum dinyatakan./ Gambar hiasan Krzysztof Hepner
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Feb - RHB Investment Bank tetap mengunjurkan inflasi Malaysia 2024 meningkat kepada 3.3% dengan kenaikan akan dapat disaksikan seawal suku kedua tahun ini (2Q24) meski pun inflasi Malaysia pada bulan pertama tahun ini dilapor kekal 1.5%. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, lantunan semula inflasi diunjurkan susulan semakan cukai perkhidmatan dan jangkaan rasionalisasi subsidi diesel pada akhir tahun ini.

 

"Kami menjangkakan momentum inflasi akan meningkat semula seawal 2Q24.

 

"Berdasarkan analisis, rasionalisasi subsidi bahan api dan semakan dalam cukai perkhidmatan akan memberi kesan yang lebih ketara ke atas trajektori inflasi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata firma itu, kenaikan harga diesel dan petrol RON 95 melalui rasionalisasi bahan api dianggarkan meningkatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) utama antara 0.25 – 0.35% sekiranya kenaikan berlaku sebanyak 5% atau 10 sen.

 

Bagaimanapun kata RHB Investment, kesan langsung daripada pelarasan tarif air dan elektrik lebih terhad kerana kenaikannya agak sederhana dan komponen tersebut mempunyai bahagian yang agak rendah dalam bakul IHP.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Jan 2024 kekal 1.5% namun harga daging mula naik, beras import melambung 9.6%

 

Katanya, magnitud sebenar risiko kenaikan harga akan bergantung pada beberapa faktor utama iaitu tarikh kuat kuasa pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api, kuantum pelarasan harga dan tarif serta kekuatan pusingan kedua kesan ke atas perbelanjaan isi rumah dan kos perniagaan.

 

"Ketika ini, tarikh kuat kuasa rasionalisasi subsidi bahan api dengan harga runcit baharu belum dinyatakan. 

 

"Garis masa kasar untuk rasionalisasi subsidi bahan api dikatakan bakal dilancarkan menjelang 2Q24, diikuti dengan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua 2024 (2H24)," jelasnya.

 

Tambah RHB Investment, selain itu, terdapat potensi kesan limpahan kepada inflasi makanan Malaysia untuk 1H24 akibat El-Nino seperti unjuran model yang dibangunkan.

 

"Dari segi luaran, kami tetap berhati-hati tentang potensi kecenderungan kenaikan harga komoditi dan harga makanan dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Harga komoditi akan dirangsang oleh permintaan yang lebih tinggi di tengah-tengah kerancakan aktiviti global ditambah pula dengan risiko peningkatan bekalan.

 

"Pemulihan ekonomi China pada tahun 2024  boleh meningkatkan permintaan dan harga komoditi iaitu harga minyak mentah dan logam asas," ujarnya.

 

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), RHB Inversetment berpandangan ia berkemungkinan dikekalkan pada 3.00% untuk 2024 seandainya inflasi berada dalam julat rasmi 2.1% hingga 3.6%.

 

Katanya, bank pusat mungkin mengekalkan kadar penanda arasnya sehingga terdapat pencerahan mengenai masa dan magnitud rasionalisasi subsidi bahan api, sambil mengakses kesan pada keseluruhan trajektori inflasi dan momentum ekonomi.

 

"Setakat ini, risiko inflasi dikawal oleh harga makanan yang stabil, sebahagiannya disebabkan oleh penerusan subsidi makanan dan kawalan harga bagi barangan makanan ruji," katanya. - DagangNews.com