Prospek pertumbuhan UOB diunjur lebih stabil disokong pertumbuhan positif segmen pinjaman - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan UOB diunjur lebih stabil disokong pertumbuhan positif segmen pinjaman - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - TA Securities mengunjurkan prospek pertumbuhan United Overseas Bank (UOB) yang lebih stabil dan seimbang didorong oleh beberapa faktor termasuk jangkaan pertumbuhan satu digit untuk segmen pinjaman serta unjuran pertumbuhan positif dari segi pendapatan yuran.

 

Katanya, selain itu ia juga disokong oleh nisbah kos kepada pendapatan (CTI) yang stabil dalam julat antara 41% hingga 42% dan kos kredit yang dijangka kekal dalam julat 25 ke 30 mata asas.

 

"UOB terus berpandangan positif jangka panjang di rantau ASEAN dan melihat banyak peluang dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) apabila permintaan untuk produk dan perkhidmatan mampan

 

"Kami kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan daripada penyepaduan berterusan bersama operasi Citi dengan potensi peningkatan hasil daripada pertambahan asas pelanggan, pendapatan lebih baik merentasi pelbagai produk (khususnya kad kredit, deposit runcit dan pengurusan keyaan) dan peluang jualan silang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan yuran 1QFY24 meningkat sebanyak 5.1% dari tahun ke tahun kepada S$580 juta (RM2.02 bilion) disebabkan kenaikan yuran berkaitan pinjaman dan perniagaan pengurusan kekayaan.

 

Katanya, yuran kad kredit merosot, seperti dimaklumkan pengurusan bahawa segmen itu Kembali normal pada paras tertinggi bermusim pada suku sebelumnya.

 

"Pendapatan dagangan dan pelaburan meningkat kepada S$521 juta (RM1.82 bilion) pada 1QFY24 berbanding S$362 juta (RM1.27 bilion) pada 4QFY23 dan S$474 juta (RM1.66 bilion) setahun lalu, diterajui pendapatan perbendaharaan berkaitan pelanggan yang berdaya tahan disebabkan peningkatan jualan bon runcit dan permintaan lindung nilai yang teguh.

 

"Pendapatan dagangan dan pelaburan lain juga meningkat dengan baik  disebabkan oleh aktiviti pengurusan dagangan dan kecairan yang lebih baik," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) S$33.00 (RM115) sesaham.- DagangNews.com