Fenomena peningkatan penggunaan kod QR dalam dunia perniagaan tempatan menunjukkan perubahan budaya transaksi pembayaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jika dahulu kaedah utama pembayaran adalah menggunakan wang tunai, namun kini semakin ramai yang mula beralih kepada pembayaran secara digital.
Menurut statistik kerajaan, sebanyak 11.8 juta transaksi pembayaran QR rentas sempadan bernilai RM967 juta telah dicatatkan pada separuh pertama 2025 dan merupakan satu peningkatan memberangsangkan berbanding 11.7 juta transaksi bernilai RM860 juta sepanjang tahun 2024.
Perkembangan ini membuktikan penggunaan kod QR semakin diterima sebagai norma baharu dalam dunia perniagaan tempatan yang bukan sahaja dipacu oleh kemudahan teknologi, tetapi juga oleh pelbagai inisiatif daripada institusi perbankan dan pihak kerajaan.
Transaksi lebih cepat dan efisien
Bagi perniagaan tempatan, penggunaan kod QR memberikan kelebihan transaksi pembayaran lebih cepat dan mudah. Urus niaga dilakukan hanya dengan mengimbas kod QR untuk membuat pembayaran.
Cara ini dapat membantu peniaga menguruskan perniagaan dengan lebih efisien tanpa perlu risau tentang pengendalian wang tunai, terutamanya semasa waktu puncak.
Peniaga juga dapat memberi layanan lebih pantas kepada pelanggan, sekali gus meningkatkan kepuasan pengguna.
Dalam suasana perniagaan yang kompetitif, kelancaran urus niaga merupakan faktor penting yang boleh menentukan sama ada pelanggan akan kembali atau sebaliknya.

Rekod kewangan lebih teratur
Kelebihan seterusnya kepada peniaga ialah pengurusan rekod kewangan yang lebih teratur.
Setiap transaksi boleh direkodkan secara digital tanpa bergantung sepenuhnya kepada rekod manual.
Melalui sistem perbankan, peniaga boleh mengurus dan memantau rekod kewangan perniagaan dengan lebih terperinci.
Data transaksi yang diperoleh dapat membantu peniaga dalam urusan penyediaan laporan kewangan serta memudahkan urusan pencukaian.
Peniaga juga boleh menggunakan data tersebut bagi tujuan analisis perniagaan seperti mengenal pasti waktu puncak, produk paling laris serta kecenderungan pembelian pelanggan.
Maklumat ini penting untuk strategi pemasaran dan perancangan stok agar operasi perniagaan berjalan lancar.
Mengurangkan risiko dan kerugian
Selain itu, risiko keselamatan dan kerugian dapat dikurangkan melalui penggunaan kod QR.
Peniaga tidak perlu menyimpan jumlah wang tunai yang banyak di tempat perniagaan. Ini dapat mengurangkan kebimbangan terhadap kes kecurian atau kehilangan.
Malah, peniaga juga dapat mengurangkan risiko menerima wang palsu yang membawa kepada potensi kerugian dan komplikasi undang-undang untuk pelanggan dan peniaga.

Dalam masa yang sama, rekod transaksi digital boleh dijadikan bukti jika timbul sebarang pertikaian antara peniaga dan pelanggan.
Hal ini memberi lebih ketenangan kepada kedua-dua pihak.
Menarik pelanggan digital dan pelancong asing
Dari sudut imej perniagaan, penggunaan kod QR juga dapat memperluaskan kumpulan sasaran terutamanya kepada pelanggan digital dan pelancong asing.
Generasi muda masa kini lebih gemar membuat pembayaran secara digital dan mereka cenderung memilih perniagaan yang menyediakan kemudahan tersebut.
Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keuntungan bagi peniaga yang mengambil inisiatif penggunaan kod QR.
Manakala pelancong asing lazimnya lebih berminat berbelanja di premis perniagaan yang menerima pembayaran melalui kod QR kerana mereka tidak perlu menukar mata wang atau membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.
Perubahan ini memberi imej moden, cekap dan mesra pelancong, seiring dengan aspirasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Peluang untuk PKS dan usahawan kecil
Tambahan lagi, penggunaan kod QR memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) untuk berdaya saing dengan perniagaan besar.

Dengan kos penyelenggaraan yang rendah, peniaga kecil tidak perlu melabur dalam mesin pembayaran kad yang biasanya lebih mahal.
Mereka hanya memerlukan telefon pintar dan sambungan internet untuk menerima bayaran.
Hal ini selaras dengan agenda pendigitalan negara yang bertujuan memperkasakan ekonomi digital di Malaysia.
Sokongan kerajaan dan institusi kewangan
Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh penggunaan pembayaran digital melalui pelbagai inisiatif seperti kempen Cashless Society dan galakan penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai.
Institusi kewangan turut menawarkan insentif seperti rebat transaksi, promosi diskaun, dan ganjaran kesetiaan untuk menggalakkan pengguna serta peniaga menerima kaedah pembayaran ini.
Sokongan menyeluruh ini membolehkan lebih ramai peniaga tempatan beralih kepada teknologi moden tanpa bimbang akan kos permulaan yang tinggi.
Kesimpulan: masa depan perniagaan lebih digital
Secara kesimpulannya, pembayaran menggunakan kod QR merupakan satu inisiatif yang bijak untuk meningkatkan keuntungan dan menarik lebih ramai pelanggan.
Dengan menggunakan teknologi terkini, peniaga tempatan dapat berdaya saing dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Perkembangan positif penggunaan kod QR yang diperkukuhkan dengan sokongan kerajaan dan institusi kewangan dilihat mampu memperkasakan ekosistem perniagaan tempatan secara digital di Malaysia.
Ke arah masa depan, perniagaan yang bersedia beradaptasi dengan kaedah pembayaran baharu ini berpotensi lebih cemerlang dalam pasaran yang semakin mencabar. - DagangNews.com
Nurhaslinda Hashim & Munirah Mohamed merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka








