Gentari, SEDC Energy bekerjasama bangunkan hab pengeluaran hidrogen berpusat di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Gentari, SEDC Energy bekerjasama bangunkan hab pengeluaran hidrogen berpusat di Sarawak

Pertukaran dokumen kerjasama Gentari dan SEDC Energy disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) sempena Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC2024) di Kuching pada 26 Februari 2024.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Gentari Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian dengan SEDC Energy Sdn Bhd untuk pembangunan bersama hab pengeluaran hidrogen berpusat di Bintulu, Sarawak.

 

Perjanjian pembangunan hab yang digelar Sarawak H2 Hub itu ditandatangani anak syarikatnya, Gentari Hydrogen Bhd dengan SEDC Energy, iaitu anak syarikat Sarawak Economic Development Corp (SEDC).

 

SEDC Energy telah ditugaskan oleh kerajaan Sarawak untuk memulakan ekosistem hidrogen di negeri tersebut, selaras dengan visi Sarawak untuk menekankan penggunaan tenaga yang lebih bersih.

 

“Hab pengeluaran hidrogen berskala global yang dirancang di Bintulu bertujuan untuk berfungsi sebagai pembekal tunggal hidrogen hijau bagi kemudahan hiliran di kawasan bahagian Bintulu, diuruskan oleh syarikat usaha sama yang akan dibentuk oleh Gentari dan SEDC Energy, yang juga bertanggungjawab mengoptimumkan semua projek pengeluaran hidrogen di wilayah ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Perjanjian berkenaan adalah susulan perjanjian kerjasama strategik yang dimeterai mereka sebelum ini, untuk meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan dan penyediaan rumusan tenaga bersih bersepadu, serta sumbangan kepada pembangunan dasar dan kawal selia di negeri itu.

 

Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert berkata, pihaknya meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi seperti SEDC Energy untuk membangunkan ekonomi hidrogen tempatan, yang akan mewujudkan nilai ekonomi bagi negeri sambil meletakkan negara sebagai hab eksport hidrogen.

 

“Kami percaya hidrogen adalah jalan ke hadapan dan kami komited untuk menyumbang kepada Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, sebagai tambahan kepada visi dan objektif kerajaan Malaysia dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR), katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy, Robert Hardin berkata kerjasama strategik antara SEDC dan Gentari untuk membangunkan hub berkenaan akan memacu lebih banyak pembangunan dan menarik pelaburan baharu terutamanya dalam sektor tenaga baharu. 

 

“Hidrogen akan memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan seperti yang diketengahkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, peranan Sarawak dalam memajukan pembangunan ini wajar diberi perhatian,” tambahnya.  - DagangNews.com