KUALA LUMPUR 27 Mac - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menjangkakan kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada 8% dan program rasionalisasi subsidi bahan api yang akan dilaksanakan kelak bakal memberi tekanan kepada pengguna dari sudut inflasi dan kos sara hidup.
Presiden FFM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sehubungan itu pihaknya lebih berhati-hati terhadap prospek ekonomi Malaysia susulan penguncupan perbelanjaan pengguna.
"Perbelanjaan swasta dijangka perlahan manakala inflasi melantun semula (pada 2024)," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, kata hian Lai, FMM menjangkakan pertumbuhan ekonomi 2024 berada lebih rendah daripada unjuran rasmi kerajaan yang ditetapkan antara 4 hingga 5%.
Katanya, eksport dijangka menyaksian pemulihan sederhana dalam eksport, bagaimanapun peningkatan pelaburan dan pemulihan dalam sektor pelancongan akan terus memacu pertumbuhan.
"Separuh kedua tahun 2024 dijangka lebih baik apabila keadaan monetari global semakin reda," jelasnya.
Kata Presiden FMM itu, cabaran jangka waktu terdekat bagi Bank Negara Malaysia adalah untuk mengurangkan impak senario ekonomi global semasa.
Dalam hal ini ujarnya, jika bank pusat bertindak terlalu cepat boleh membawa kepada lantunan semula inflasi manakala menunggu terlalu lama untuk mereda boleh menyebabkan ekonomi terjejas terlalu banyak.
"Ini adalah keseimbangan yang halus," kata Thian Lai.
Sementara itu, beliau menyentuh kadar pertukaran ringgit yang jatuh ke paras terendah RM4.80 (berbanding AS$1) pada Februari tahun ini, terendah sejak 1988 walaupun mempunyai asas kukuh.
"Walau bagaimanapun, perlindungan rizab asing Malaysia adalah mencukupi, manakala baki akaun semasa kekal dalam lebihan.
"Penarafan kredit A- menggariskan keupayaan untuk memenuhi obligasi hutangnya. Oleh itu, tidak perlu menambat mata wang," katanya.- DagangNews.com