Diburu selama 15 tahun akhirnya Daniel Wong ditangkap, berdepan pertuduhan bersubahat menipu - SC | DagangNews Skip to main content

Diburu selama 15 tahun akhirnya Daniel Wong ditangkap, berdepan pertuduhan bersubahat menipu - SC

WONG JIT KIANG atau DANIEL WONG
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Mei - Seorang lelaki yang diburu pihak berkuasa selama 15 tahun akhirnya didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan bersubahat melakukan penipuan sebanyak RM17.6 juta pada 2007.

 

Pertuduhan itu dilakukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Wong Jit Kiang atau Daniel Wong di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan bersubahat bersama Toh Chun Toh menipu Multi-Code Electrinics Industries (M) Berhad (Multi-Code).   

 

Daniel Wong dalam buruan selama 15 tahun walaupun banyak usaha dilakukan untuk mengesannya dengan dua waran tangkap berasingan telah dikeluarkan terhadapnya pada 2009 dan 2019.

 

 

Akhirnya semalam, tertuduh ditahan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sekembalinya dari Singapura.

 

Penahanan Daniel Wong dibuat dengan bantuan Interpol, Jabatan Hal Ehwal Komersial Pasukan Polis Singapura (CAD Singapura) dan Keselamatan Penerbangan Lapangan Terbang Malaysia.

 

Daniel Wong diutamakan dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 122C(c) dibaca bersama seksyen 87A(b) Akta Perusahaan Sekuriti 1983 (SIA) kerana bersubahat dengan Toh menggunakan RM17.5 juta daripada dana Multi-Code antara 26 dan 28 Mac 2007 untuk membiayai pembelian lebih 11 juta saham Multi-Code oleh Ace Prelude Sdn Bhd.

 

 

daniel
Wong Jit Kiang

 

 

Jika sabit kesalahan, Daniel Wong boleh didenda tidak kurang RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

 

Mendiang Toh, warga Singapura dan bekas Pengarah Urusan Multi Code, sebelum ini telah didakwa oleh SC atas kesalahan utama di bawah seksyen 87A(b) SIA pada 2009.

 

Toh juga didakwa pertuduhan pilihan kerana melakukan pecah amanah jenayah (CBT) di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

 

Mendiang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan alternatif selepas perbicaraan penuh dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1 juta, jika ingkar dua tahun penjara. 

 

Toh telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap sabitan tersebut, bagaimanapun dia meninggal dunia sebelum rayuannya didengar oleh Mahkamah Tinggi.

 

Dalam prosiding pendakwaan di mahkamah hari ini, Daniel Wong mohon dibicarakan atas pertuduhan itu. 

 

SC telah membantah jika ikat jamin diberikan ke atas tertuduh dan berhujah bahawa Daniel Wong adalah berisiko dengan sebelum ini telah melarikan diri dari negara walaupun ketika dia menghadapi pertuduhan jenayah berterusan terhadapnya dalam kes berasingan oleh SC.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Azrul Darus bersetuju dengan hujahan SC dan menafikan jaminan Daniel Wong sementara menunggu perbicaraan.

 

Hasil yang disaksikan hari ini menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa antara SC dan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam memastikan pelaku undang-undang sekuriti dibawa menghadapi undang-undang.

 

SC ingin merakamkan penghargaan kepada Interpol, CAD Singapura dan AVSEC atas bantuan yang diberikan.- DagangNews.com