Colt's Manufacturing bekerjasama dengan SME Ordnance bekal peluru senjata kecil bersama | DagangNews Skip to main content

Colt's Manufacturing bekerjasama dengan SME Ordnance bekal peluru senjata kecil bersama

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan peluang meningkatkan pengeluaran dan pengedaran peluru dengan kaliber 5.56mm untuk model M193. - Gambar/GettyImages
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Colt's Manufacturing Company LLC dan SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO), anak syarikat National Aerospace dan Defence Industries Sdn. Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menghasilkan serta membekalkan peluru senjata kecil secara bersama bagi mengukuhkan rantaian bekalan global sektor pertahanan. 

 

Usaha sama strategik itu selaras dengan matlamat acara tersebut untuk mempromosikan kerjasama antarabangsa, dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan peluang yang akan meningkatkan pengeluaran dan pengedaran peluru dengan kaliber 5.56mm untuk model M193.

 

Kerjasama tersebut menzahirkan komitmen SMEO untuk menghasilkan dan membekalkan enam juta butir peluru secara tahunan kepada Colt selama tiga tahun. 

 

Kerjasama ini yang didasari oleh objektif dan keupayaan bersama kedua-dua syarikat, menjadi kerangka potensi kerjasama jangka panjang yang akan menjurus kepada peningkatan daya tahan dan pengukuhan tahap kebolehpercayaan rantaian bekalan.

 

Naib Presiden Global Bahagian Jualan Penguatkuasa Undang-undang dan Ketenteraan (MIL/LE) di Colt, Jens Heider berkata, kerjasama itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan rantaian bekalan tetapi ia juga selaras dengan matlamat strategik mereka untuk menjamin bekalan berterusan yang boleh dipercayai kepada pelanggan global.

 

mou
Tan Sri Mohd Shahrom Nordin (duduk kiri) bersama Jens Heider (duduk kanan) memeterai Memorandum Persefahaman untuk menjalin pakatan strategik bagi meningkatkan bekalan peluru sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024.

 

"Kami teruja untuk memanfaatkan keupayaan kapasiti SMEO bagi memenuhi peningkatan dalam permintaan antarabangsa untuk peluru berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mematuhi perjanjian tanpa pendedahan (NDA) bagi melindungi kerahsiaan dan integriti hasrat strategik mereka dan kerjasama tersebut distrukturkan untuk menghormati serta mematuhi semua undang-undang dan peraturan antarabangsa yang berkaitan, termasuk kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) dan kerangka perundangan Malaysia.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SMEO, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin berkata, kerjasama itu aalah antara detik penting dalam sejarah syarikat apabila diiktiraf setaraf dengan sebuah nama gah dalam sektor pembuatan senjata.

 

"Kerjasama kami dengan Colt bukan sahaja akan meluaskan keupayaan syarikat tetapi ia juga akan mengangkat nama SMEO dalam persada industri pertahanan antarabangsa," katanya. - DagangNews.com