Bekas pengerusi Mavcom, Dr Nungsari sertai Lembaga Pengarah Malaysia Airports | DagangNews Skip to main content

Bekas pengerusi Mavcom, Dr Nungsari sertai Lembaga Pengarah Malaysia Airports

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 10 Mei - Malaysia Airports Holdings Bhd mengumumkan pelantikan bekas pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi sebagai pengarahnya berkuat kuasa serta-merta.

 

Nungsari, seorang ahli ekonomi yang kini menganggotai Jawatankuasa Penasihat Dasar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif di Malaysia Airports, umum MAHB di Bursa Malaysia.

 

Beliau juga merupakan pengarah bukan eksekutif bebas di Bank Negara Malaysia.

 

Nungsari, 64 tahun, berkhidmat sebagai pesuruhjaya Mavcom sejak penubuhannya pada tahun 2015 dan kemudiannya sebagai pengerusi eksekutifnya dari 1 Julai 2018 hingga 10 April 2020, menurut MAHB.

 

 

mahb

 

 

Beliau pernah menduduki jawatan eksekutif dalam pelbagai syarikat Kementerian Kewangan (Inc) seperti Khazanah Nasional Bhd, Prokhas Sdn Bhd, Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, DanaInfra Nasional Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd.

 

Nungsari juga pernah menjadi anggota lembaga pengarah pelbagai badan berkanun dan korporat termasuk Majlis Produktiviti Negara, Majlis Amanah Rakyat, Bank Pertanian Malaysia Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd.

 

Saham Malaysia Airports ditutup enam sen atau 0.58% lebih tinggi pada RM10.32, menjadikan nilai modal pasaran syarikat pengendali lapangan terbang itu sebanyak RM17.22 bilion. - DagangNews.com