7-Eleven dijangka buka lebih banyak konsep 7CAFé | DagangNews Skip to main content

7-Eleven dijangka buka lebih banyak konsep 7CAFé

7-Eleven mengekalkan panduan untuk membuka 100 cawangan yang menggabungan kedai serbaneka dan 7CAFé dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - Gambar : Facebook 7 Eleven Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kenanga Research menjangkakan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. akan membuka lebih banyak konsep 7CAFé sekali gus berupaya meningkatkan kecekapan operasi kumpulan terutamanya bagi pemprosesan makanan dengan volum yang lebih tinggi dan unit simpanan stok (SKU).

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan pandangan 'outperform' dengan harga sasaran pada RM1.85 daripada RM1.70 sesaham. 

 

"Kami baru-baru ini mengunjungi 7CAFé by 7-Eleven di Bandar Puteri Puchong dan kagum dengan perkembangannya setakat ini. 

 

"Dengan memanfaatkan keupayaan rakan usaha samanya untuk menarik masuk dan mengekalkan trafik, ia mempunyai saiz pelanggan yang lebih besar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Cawangan utama 7CAFé di Bandar Puteri Puchong itu adalah yang kedua dibuka setakat ini, selepas pembukaan cawangan pertama di Uptown, Petaling Jaya.

 

Ia merupakan yang terbesar setakat ini lengkap dengan kedai buku mini dan minuman menerusi kerjasama BookXcess serta Niko Neko Matcha.

 

Menurut Kenanga Research, 7-Eleven mengekalkan panduannya untuk membuka 100 cawangan yang menggabungan kedai serbaneka dan 7CAFé dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

"Kami menganggarkan perbelanjaan modal bagi kedai serbaneka dan 7CAFé ini masing-masing sekitar RM250,000 setiap satu dan RM500,000 setiap satu. 

 

"Dengan mengambil kira campuran produk yang lebih baik, kami menjangkakan 7CAFé akan mempunyai bayaran balik yang lebih pendek antara 3 hingga 4 tahun berbanding 5 hingga 7 tahun bagi kedai serbaneka," katanya.

 

Pada masa sama, firma itu juga mengekalkan unjuran FY22 berdasarkan kepada tambahan 100 cawangan dan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 4%.

 

"Kami meningkatkan pendapatan FY23 sebanyak 17% berdasarkan andaian penambahan bersih 110 cawangan (daripada 50 kedai) dan SSSG sebanyak 4% (daripada -1.9%) dengan mengambil kira campuran produk yang lebih baik dan perbelanjaan pengguna yang mampan," jelasnya.

 

Setakat 12.16 tengah hari, harga saham 7-Eleven menokok 1 sen atau 0.65% kepada RM1.56 dengan 10,000 saham diniagakan. - DagangNews.com